suria

“Orang negatif pun boleh jadi positif” - Jemaah umrah stres ‘terkurung’ dalam hotel, dah tak mampu bayar kos kuarantin

Sepasang suami isteri berasa tertekan dengan kos penginapan yang dikatakan mahal selain mendakwa kebajikan mereka juga seolah-olah terabai. -Gambar hiasan

BUKAN sahaja tertekan dengan kos penginapan yang mahal, malah kebajikan mereka juga seolah-olah terabai.

Demikian luahan sepasang suami isteri yang baru pulang dari menunaikan ibadah umrah dan kini sedang menjalani kuarantin di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

Menurut Abdullah Tahir Salleh, 68, dia seolah-olah dikurung di premis berkenaan tanpa kesudahan.

ARTIKEL BERKAITAN: Semua kos ditanggung! Ini senarai penempatan kuarantin jemaah umrah disediakan kerajaan

Abdullah Tahir yang pulang ke tanah air pada 6 Januari, disahkan positif Covid-19 pada 11 Januari lalu.

Dia yang merupakan bekas anggota Sidang Pengarang Utusan Malaysia pernah dimaklumkan akan dipindahkan ke Pusat Rawatan dan Kuaratin Covid-19 (PKRC) di MAEPS, Serdang atau Hospital Sungai Buloh untuk rawatan selanjutnya.

Bagaimanapun, katanya, sehingga kini dia masih di hotel tersebut disebabkan doktor yang menjaganya memaklumkan bahawa PKRC tersebut sudah penuh.

Lebih membimbangkan, katanya, doktor tersebut memberitahu bahawa dia akan dibawa PKRC hanya apabila keadaan kesihatannya bertambah buruk.

"Sehingga kini, tiada orang yang datang menjenguk saya di bilik kuarantin. Malah saya tidak dibekalkan dengan sebarang ubat-ubatan walaupun saya menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi.

"Doktor memaklumkan akan menunggu saya sehingga jatuh sakit, barulah akan membawa saya ke hospital untuk rawatan.

"Saya terkejut apabila dimaklumkan begitu. Kalau macam ini, saya akan mati di sini kerana perlu menunggu hingga sampai ke tahap kritikal,” katanya, memetik Sinar Harian.

Abdullah Tahir berkata dia perlu membayar sebanyak RM500 sehari untuk penginapan hotel berkenaan bersama isterinya dan sehingga kini sebanyak RM3,200 telah dibelanjakan.

Justeru, mereka menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengambil tindakan segera.

"Kalau tidak, ramai pesakit akan mati atau mengalami kesusahan nanti," katanya.

Sementara itu isteri Abdullah Tahir iaitu Jawaher Daud, 63, turut menjalani kuarantin di hotel berkenaan walaupun tidak dijangkiti Covid-19.

Jawaher meluahkan rasa bimbang dengan keadaan suaminya yang tidak terurus dan tertekan serta sering menghubunginya setiap 30 minit kerana tiada doktor memeriksa keadaannya di bilik.

"Kain cadar dan tuala tidak ditukar, malah air minuman perlu dibeli sendiri. Cuba bayangkan, saya rasa orang yang negatif pun boleh jadi positif Covid-19. Sudahlah tingkap tidak boleh dibuka.

"Kami macam duduk dalam penjara, sesak nafas. Suami kata boleh mati kalau macam ini," katanya.

Jawaher mengakui tertekan dengan keadaan sekarang dan mahu keluar dari hotel tersebut kerana sudah tidak mampu membayar kos kuarantin.

"Saya tak tahu nak cerita macam mana, rasa takut pun ada sebab tinggal seorang diri.

"Minta sangat Khairy Jamaluddin, dengarlah rintihan kami ini. Kami bukan nak balik rumah, tapi nak keluar dari sini kerana sudah tidak mampu bayar (kos penginapan)," katanya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Berkaitan

Artikel Lain