suria

Demi bonus tahunan, suami isteri penjawat awam kantoi guna sijil vaksin palsu

Suami isteri ditahan kerana mengemukakan sijil vaksinasi Covid-19 palsu. -gambar hiasan

TINDAKAN sepasang suami isteri yang juga penjawat awam mengemukakan sijil vaksinasi Covid-19 palsu, mengundang padah apabila ditahan polis pada Selasa lalu.

Penipuan yang dibuat kedua-dua penjawat awam di sebuah jabatan kerajaan di Melaka terbongkar susulan satu laporan polis.

Difahamkan pasangan berusia 33 dan 38 tahun itu membeli dan memuat turun sijil vaksinasi palsu berharga RM500 seorang untuk mendapatkan bonus gaji menerusi seorang rakan dari jabatan sama yang bertindak sebagai orang tengah.

ARTIKEL BERKAITAN: Sijil vaksin palsu: 5 pembeli sedia jadi saksi

ARTIKEL BERKAITAN: Doktor berusia 51 tahun ditahan jual sijil vaksin palsu kepada golongan antivaksin

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, siasatan awal mendapati orang tengah berusia 58 tahun itu memuat turun aplikasi sijil vaksin lengkap dua dos palsu daripada seorang suspek yang masih bebas digelar sebagai 'VNilai'.

Menurut beliau, tangkapan dilakukan selepas pihaknya menerima laporan polis daripada seorang pegawai tadbir jabatan tersebut yang telah dimaklumkan pengarahnya berhubung sijil vaksinasi yang mencurigakan itu.

Jelas Arshad, pengadu kemudian menghantar surat kepada Klinik Kesihatan Rembia untuk membuat semakan pada 31 Disember tahun lalu untuk pengesahan tentang status tersebut sebelum pihak berkenaan mengesahkan kedua suspek tidak menerima sebarang vaksin.

"Bertindak atas maklumat itu, ketiga-tiga suspek ditahan selepas dipanggil di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah sekitar jam 4 petang pada Selasa lalu.

"Kita juga telah merampas telefon bimbit milik kesemua suspek dan ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) selama tiga hari dan akan disambung bagi membantu siasatan," katanya pada Khamis.

Mengulas lanjut, beliau berkata, polis sebelum ini pernah menerima laporan daripada suspek bahawa dia enggan di vaksin pada pertengahan tahun lalu. - Sinar Harian

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Sebelum

Tun M dibenar keluar IJN

Artikel Lain