suria

Banjir : Hati-hati dengan individu yang mungkin ambil kesempatan kutip derma untuk diri sendiri - Polis

Polis meminta orang ramai berhati-hati ketika menderma. (Gambar File)

ORANG ramai dinasihatkan supaya berhati-hati ketika membuat sumbangan terutama selepas banjir baru-baru ini, kata polis.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, kutipan derma yang diadakan bagi membantu mangsa bencana sering mendapat sambutan positif daripada orang ramai.

“Polis tidak menolak kemungkinan ada individu tertentu akan mengambil kesempatan daripada banjir dengan mengutip derma untuk kegunaan sendiri,” kata Mohd Kamarudin.

Beliau menambah dalam satu kenyataan pada Jumaat (24 Dis) bahawa walaupun belum ada laporan dibuat mengenai sebarang penipuan, orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati ketika membuat sumbangan bagi memastikan dana disalurkan kepada golongan yang memerlukan.

Mohd Kamarudin berkata polis sedar banjir baru-baru ini menyebabkan ramai kehilangan harta benda dan juga rumah.

“Terdapat pelbagai inisiatif sumbangan diwujudkan oleh parti politik, badan bukan kerajaan, syarikat swasta dan individu untuk membantu mangsa banjir,” katanya.

Beliau menambah bahawa polis akan memantau aktiviti ini, terutama sekali aktiviti mengumpul dana yang dilakukan melalui Internet.

“Sebarang aktiviti mencurigakan akan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan (kerana menipu),” katanya.

Mohd Kamarudin menggesa mereka yang mempunyai maklumat mengenai sebarang penipuan derma supaya menghubungi polis melalui Pusat Respons Penipuan CCID di talian 03-26101559/1599 atau balai polis berhampiran. - The Star

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

banjir, derma, ccid, polis, hati-hati, nasihat

Artikel Sebelum

Artikel Lain