suria

Polis cari individu jadi marshal kawal lalu lintas di Port Dickson

Dalam video tular itu, individu berkenaan dilihat berhenti dan dan memberi arahan kepada kenderaan. (Kredit: Epul Adam Helmet Bajet)

POLIS sedang mengesan beberapa individu yang bertindak sebagai marshal dengan memberhentikan lalu lintas untuk konvoi motosikal berkuasa tinggi di sebuah persimpangan lampu isyarat di Port Dickson, Negeri Sembilan.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, dalam klip berdurasi 70 saat yang tular itu, individu berkenaan dilihat berhenti dan dan memberi arahan kepada kenderaan di persimpangan lampu isyarat Sua Betong.

“Individu itu memberhentikan lalu lintas supaya konvoi motosikal boleh melalui simpang berkenaan apabila lampu merah.

“Penunggang motosikal itu datang dari Lebuhraya Seremban-Port Dickson dan menghala ke Bulatan Sunggala di Telok Kemang,” katanya.

Jelas beliau, trafik hanya boleh dihentikan atau dilencongkan apabila ada pegawai polis sahaja.

“Tanpa kehadiran pegawai polis, adalah menyalahi undang-undang untuk memberhentikan atau melencongkan lalu lintas,” katanya.

Kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Polis dan Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Di bawah Seksyen 21 Akta Polis, pesalah boleh didenda sehingga RM200 atau penjara sehingga tiga bulan, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mereka yang disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan boleh didenda sehingga RM300.

Tambah beliau lagi, mereka yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu boleh menghubungi balai polis daerah di talian 06-647 2222. - The Star.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain