suria

Jangan buat spekulasi kematian Dr Chai - KP Kesihatan

Dr Noor Hisham berkata punca kematian Dr Chai masih dalam siasatan.

PEGAWAI kanan Kementerian Kesihatan yang meninggal dunia seminggu selepas menerima suntikan penggalak Covid-19 tidak mengalami sebarang kesan sampingan yang luar biasa selepas vaksinasi, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Dr Noor Hisham berkata kematian mengejut Dr Chai Koh Meow pada 17 November masih dalam siasatan dan menggesa orang ramai supaya tidak membuat spekulasi mengenai kes itu.

"Dr Chai menerima suntikan penggalak Covid-19 pada 9 Nov. Dia tidak melaporkan sebarang kesan sampingan yang luar biasa selepas menerima suntikan itu. Malah, dia menghadiri kerja seperti biasa sehingga 16 Nov.

“Siasatan punca kematian masih diteruskan. Kementerian meminta semua pihak tidak membuat spekulasi berhubung kes itu sehingga keputusan bedah siasat rasmi dikeluarkan.

“Kementerian juga merayu kepada orang ramai supaya menghormati privasi keluarga si mati,” kata Dr Noor Hisham dalam catatan Facebook pada Khamis (18 Nov).

Dr Chai merupakan penolong pengarah kanan bahagian Perubatan Tradisional dan Komplementari dan berpangkalan di ibu pejabat kementerian itu.

Dr Noor Hisham berkata Dr Chai amat disenangi oleh rakan-rakannya, orang ramai serta komuniti perubatan tradisional dan komplementari.

“Kementerian berdukacita atas pemergian salah seorang pegawai yang komited dan berdedikasi dengan tugasnya.

“Semoga rohnya dicucuri rahmat,” kata Dr Noor Hisham. - The Star

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain