suria

Wang kertas RM50 diselit pada bekas makanan bukan di Melaka - Polis

Video tular yang memaparkan duit kertas RM50 diselit pada bekas makanan. Foto: Media sosial

POLIS Melaka mengesahkan video tular yang memaparkan wang kertas RM50 yang diselitkan pada bekas makanan, bukan berlaku di negeri berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Negeri, Azlan Abu malah menegaskan, perkara tersebut juga tiada kaitan dengan aktiviti meraih undi yang dikaitkan dengan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

"Hasil semakan oleh pihak polis mendapati agihan bantuan makanan dan wang tunai RM50 kepada orang- orang tua itu bukan berlaku di Melaka dan tidak terkesan sebarang aktiviti meraih undi atau apa jua lambang mahupun elemen parti politik di dalam kandungan video tersebut,"katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Azlan berkata sehingga kini pihaknya juga tidak menerima sebarang laporan daripada mana-mana pihak.

Walau bagaimanapun, polis katanya tetap menjalankan siasatan dan membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

"Dalam pada itu, mana-mana individu yang mengetahui tentang kejadian bolehlah berhubung dengan pegawai penyiasat Inspektor Md Assyukri Saini di talian 016-7530492," tambahnya.

Sebelum ini tular di media sosial satu klip video memaparkan kumpulan warga emas sedang beratur bagi mengambil bungkusan makanan yang diselitkan dengan wang tunai RM50. - SINAR HARIAN

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Sebelum

Artikel Lain