suria

Ismail Sabri angkat sumpah PM ke-9

Ismail Sabri mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia kesembilan.

DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob secara rasmi diangkat menjadi Perdana Menteri kesembilan hari ini selepas mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Beliau yang juga merupakan Naib Presiden Umno menerima perkenan Agong untuk dilantik menjadi Perdana Menteri selepas memperoleh 114 sokongan majoriti daripada Ahli Parlimen.

Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri itu berlangsung di Balai Singahsana Kecil, Istana Negara, pada jam 2.30 petang Sabtu.

Sultan Abdullah memberi perkenan terhadap pelantikan itu yang selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Ismail Sabri... Ini 10 fakta yang perlu anda tahu mengenai PM ke-9

ARTIKEL BERKAITAN: Teka-teki akhirnya terjawab...Ismail Sabri sah PM ke-9

Turut berkenan menyaksikan istiadat berkenaan, Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali, Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat dan isteri Ismail Sabri iaitu Datin Seri Muhaini Zainal Abidin.

Istiadat angkat sumpah berkenaan menamatkan kemelut politik yang melanda negara sejak sejak beberapa bulan lepas sehingga menyaksikan Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan sebagai Perdana Menteri pada 17 Ogos lalu ekoran kehilangan sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

Muhyiddin memimpin Kerajaan Perikatan Nasional selama 17 bulan selepas mengambil alih pemerintahan susulan tindakan Tun Mahathir Mohamad meletak jawatan sebagai Perdana Menteri pada 24 Februari 2020.

Ismail Sabri berkhidmat sebagai Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) di bawah pimpinan Muhyiddin sebelum diangkat menjadi Timbalan Perdana Menteri pada 7 Julai lepas.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain