suria

Anwar tak hubungi GPS minta sokongan - Ketua Menteri

Datuk Seri Fadillah Yusof enggan mendedahkan nama yang dicalonkan oleh gabungan negeri.

GABUNGAN Parti Sarawak (GPS) tidak diminta untuk menyokong Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk jawatan perdana menteri, kata Datuk Patinggi Abang Johari Openg.

"Tidak, dia tak minta," kata Ketua Menteri Sarawak itu ketika ditanya apakah Anwar atau Pakatan Harapan ada menghubungi GPS.

Dia bercakap kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan ahli Parlimen GPS pada Rabu menjelang jam 4 petang untuk mengemukakan surat akuan (SD) kepada Istana Negara bagi menunjukkan siapa yang mereka sokong sebagai perdana menteri.

Abang Johari juga enggan mendedahkan siapa calon GPS untuk jawatan itu, tetapi menyatakan bahawa namanya telah diserahkan oleh ahli-ahli Parlimen seperti yang diminta.

"Saya tak boleh mendedahkan (namanya), saya tidak boleh mendahului Yang di-Pertuan Agong," katanya, sambil menambah semua ahli Parlimen itu sebulat suara dalam membuat pemilihan ini.

Ketua Whip GPS Datuk Seri Fadillah Yusof juga enggan mendedahkan nama yang dicalonkan oleh gabungan negeri itu.

"Kami serahkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mengumumkannya," kata Anggota Parlimen Petra Jaya itu.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Santubong, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada Rabu berkata GPS menyokong Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk menjadi perdana menteri.

GPS mempunyai 18 ahli Parlimen, terdiri dari PBB, SUPP, PRS dan Parti Demokratik Progresif dan telah menyokong pentadbiran Perikatan Nasional di bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini. -The Star

Artikel Lain