suria

Ahmad Zahid tarik diri, Umno calonkan Ismail Sabri jadi PM sebab ‘ada pengalaman’ - Ahmad Maslan

Ismail Sabri dipilih Umno setelah mengambil kira pengalaman luasnya termasuk sebagai menteri kanan, timbalan perdana menteri dan sebagai ketua pembangkang. -foto BERNAMA

Umno memutuskan untuk mencalonkan Naib Presiden Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon perdana menteri selepas presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menarik diri daripada dicalonkan untuk jawatan itu, kata Datuk Seri Ahmad Maslan.

"Presiden menarik diri daripada dicalonkan. Dalam mesyuarat MKT (Majlis Kerja Tertinggi) malam tadi, dalam mesyuarat bersama Ahli Parlimen, dia ada sebut dan mesyuarat biro politik dia maklum juga menarik diri daripada dicalonkan.

"Orang nombor dua iaitu Tok Mat (Datuk Seri Mohamad Hasan), tapi tidak memenuhi kriteria sebagai calon sebab dia Adun (Ahli Dewan Undangan Negeri). Jadi kita pergi yang nombor tigalah iaitu Ismail Sabri.

"Sebab dia ada pengalaman sebagai menteri kanan yang mengurus Covid-19, ada pengalaman jadi ketua pembangkang serta pengalaman jadi timbalan perdana menteri," kata setiausaha agung Umno itu kepada wartawan di Menara Datuk Onn pada Rabu.

Anggota Dewan Rakyat mempunyai sehingga jam 4 petang hari ini untuk menyerahkan nama calon yang mereka sokong sebagai perdana menteri Malaysia yang seterusnya.

Pada Isnin, Speaker Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun memaklumkan kepada semua Ahli Parlimen untuk menyerahkan secara bertulis calon pilihan mereka ke Istana Negara melalui faks, emel atau WhatsApp. -THE STAR

Artikel Lain