suria

Gara-gara video ‘minum racun’, suami isteri ditahan polis

Video yang tular di Facebook di mana seorang lelaki mendakwa memberi isteri dan anaknya minum racun sebelum dia turut berbuat demikian.

SEPASANG suami isteri ditahan polis selepas video mereka 'meminum racun' tular di media sosial sejak Rabu.

Menurut Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim, penahanan tersebut adalah bagi membantu polis menjalankan siasatan lanjut.

Ujarnya, lelaki berusia 29 tahun itu ditahan pada jam 10.50 malam Rabu, manakala isterinya pada jam 3.15 pagi Khamis.

"Video berdurasi 16 minit itu menunjukkan suspek mendakwa telah memberi minum racun kepada isteri, anak berusia dua tahun dan dirinya sendiri dalam sebuah kenderaan.

"Perlakuannya ditunjukkan di dalam video tersebut dan hasil semakan lanjut mendapati kejadian tersebut berlaku di kawasan Seremban.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

"Satu laporan polis telah diterima berkait video yang tular itu kerana boleh menjadi ikutan dan dorongan yang tidak baik dalam masyarakat dan unsur penganiayaan terhadap kanak-kanak," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Terdahulu, pihak polis telah mengesan satu video tular melalui laman sosial Facebook yang berdurasi 16 minit 03 saat, memaparkan seorang lelaki melahirkan rasa tidak puas hati terhadap pemimpin-pemimpin kerajaan dalam menangani masalah pandemik Covid-19.

Kes disiasat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, 233 Akta Komunikasi Multimedia dan 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Tambah Mohd Said, siasatan lanjut masih diteruskan. - SINAR HARIAN

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Lain