suria

Pejabat Parlimen Muar diarah tutup, polis jelaskan Syed Saddiq hanya mohon agihan bantuan rumah ke rumah

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menjalankan program agihan bantuan makanan untuk penduduk Muar. Foto: Instagram.

AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menerusi hantaran Facebook pada Selasa mendakwa Pejabat Parlimen Muar diarahkan tutup oleh polis setelah menerima kehadiran 'luar biasa' orang ramai ke pusat berkenaan sejak Ahad lalu.

Terbaharu, Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay menjelaskan bahawa Syed Saddiq tidak mengemukakan sebarang permohonan untuk membuat agihan berpusat di Pejabat Parlimen Muar, sebaliknya hanya membuat permohonan agihan barangan keperluan dari rumah ke rumah.

ARTIKEL BERKAITAN: 11, 618 lagi dijangkiti Covid-19

Susulan itu, program agihan bantuan makanan yang dijalankannya diminta untuk dihentikan kerana tidak mendapat kebenaran daripada Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah Muar.

"Tindakan untuk menghentikan program serahan bantuan di pejabat berkenaan dibuat oleh penguat kuasa Pejabat Kesihatan Daerah Muar.

"Arahan itu dibuat kerana pegawai kesihatan melihat program yang dihadiri lebih 100 orang dan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dalam tempoh pandemik Covid-19 ini.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

"Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) memang dibenarkan untuk menjalankan aktiviti memberikan bantuan tetapi perlu mendapat kebenaran daripada Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah.

"Saya difahamkan permohonan ada dibuat, tetapi permohonan itu untuk mengedarkan bakul makanan dari rumah ke rumah, tetapi apa yang berlaku adalah pengedaran barangan dibuat secara berpusat.

"Jadi, kesalahan mereka adalah tidak mempunyai kebenaran untuk mengadakan program sedemikian di pusat itu dan kehadiran orang terlalu ramai hingga tiada penjarakkan sosial, " katanya pada sidang akhbar yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, pada Rabu.

Ayob turut menasihatkan mana-mana wakil rakyat yang mahu melakukan program untuk mengikut SOP yang telah ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan memohon kebenaran PKOB. - Sinar Harian.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Berikut

Artikel Lain