suria

Selangor tolak PKP penuh jika diberi pilihan, cadang pelaksanaan secara bersasar

Selangor menolak pelaksanaan PKP penuh sebaliknya mencadangkan PKP bersasar jika keperluan mendesak. Gambar hiasan

MEREKODKAN kes harian Covid-19 tertinggi, kerajaan Selangor bagaimanapun menolak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara penuh sekiranya diberikan pilihan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan kerajaan Persekutuan.

Sebaliknya, Exco Kesihatan Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, kerajaan negeri beranggapan PKP perlu dilaksanakan secara bersasar melibatkan kawasan serangan kluster wabak Covid-19 sahaja sekiranya penguatkuasaan itu terlalu mendesak.

"Sekarang (apa yang penting) kita kena 'defensive' (bertahan) dan Selangor perlu tingkatkan vaksinasi bagi mengekang penyebaran dalam kalangan komuniti," katanya ketika sidang akhbar yang berlangsung di Bangunan Annex, Shah Alam pada Rabu.

Hadir sama adalah Pengerusi Pasukan Petugas Khas Menangani Covid-19 Selangor (STFC), Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Dr Mariah menambah, mekanisme dan strategi bagi pelaksanaan PKP perlu ditambah baik bagi memastikan ia mencapai objektif dikehendaki.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Mengulas lanjut, Siti Mariah berkata, jangkitan Covid-19 di Selangor gagal dikawal berikutan isu polisi yang dikendalikan oleh kerajaan Persekutuan sehingga menyebabkan penularan dalam kalangan komuniti.

"STFC sebelum ini pernah mengemukakan beberapa cadangan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) namun perkara itu ditolak dan tidak diterima pihak terlibat.

"Isu polisi itu turut menyebabkan kontak yang didapati positif wabak Covid-19 gagal dikepung dan dikesan sehingga menyebabkan mereka bebas dalam kalangan komuniti," katanya.

Sementara itu, Dr Dzulkefly turut senada dan menambah, Selangor masih berada pada tahap terbaik dalam pengurusan wabak berkenaan.

"Selangor masih merekodkan kadar kebolehjangkitan rendah berbanding negeri lain seperti Kelantan dan Pahang dan disebabkan itulah tiada keperluan PKP menyeluruh," katanya.- SINAR HARIAN

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Lain