suria

Covid-19: Jangkitan libatkan orang muda 20 hingga 39 tahun meningkat, alami gejala teruk! - Dr Noor Hisham

553

PENINGKATAN kes Covid-19 di negara ini ternyata membimbangkan ramai.

Dalam perkembangan terbaharu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mendedahkan berlakunya peningkatan jangkitan wabak itu melibatkan golongan muda.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

"Daripada 1 Januari hingga 7 Mei 2021, kita dapati sekarang jangkitan amat tinggi dalam kalangan mereka yang berusia 20 hingga 29 tahun dan 30 hingga 39 tahun.

"Inilah mungkin usia yang aktif atau usia bekerja dan sekarang dengan varian baharu, kita dimaklumkan oleh pakar-pakar di Hospital Sungai Buloh, jangkitan dalam usia muda semakin meningkat malah rawatan yang diberikan tidak menampakkan kesan," ujar Dr Noor Hisham.

Beliau berkata demikian menerusi sidang media Kemeterian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Sabtu petang.

Dalam tempoh 1 Januari hingga 7 Mei 2021, terdapat 86,128 kes bagi usia 20 hingga 29 tahun manakala 88,590 kes bagi usia 30 hingga 39 tahun.

Angka itu dibuat berdasarkan kadar kes Covid-19 di Malaysia bagi setiap 100,000 penduduk mengikut kumpulan umur.

Tambah beliau, ramai golongan muda mengalami gejala teruk selepas dijangkiti Covid-19 sehingga perlu menerima rawatan di hospital.

"Jangkitan usia muda semakin meningkat dan gejala semakin teruk, ramai dimasukkan ke hospital dan juga unit rawatan rapi (ICU) hingga memerlukan bantuan pernafasan," ujarnya lagi.

Selain itu kata beliau, trend jangkitan dalam tempoh 1 Januari hingga 7 Mei 2021 juga menunjukkan kes melibatkan pesakit bukan warganegara semakin berkurangan.

Untuk rekod, Malaysia merekodkan 4,519 kes baharu pada Sabtu dengan 25 kematian dan 393 kes di ICU.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Lain