suria

Perhatian kumpulan miskin bandar! Jom rebut peluang isi lebih 10,000 jawatan

Sebanyak 10,305 kekosongan jawatan ditawarkan menerusi Program Kerjaya UP.

SEHINGGA Disember 2020, statistik yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan pengangguran di Malaysia meningkat kepada 772,900 orang pada kadar 4.8 peratus.

Ditambah pula dengan impak negatif susulan pandemik Covid-19, bilangan penganggur mencatatkan pertambahan melebihi 200,000 orang.

Bertepatan dengan situasi, Kementerian Sumber Manusia menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) akan menganjurkan Program Kerjaya UP (Urban Poor) dalam usaha mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan golongan rentan bandar.

Program Kerjaya UP merangkumi temu duga kerja untuk individu mudah terjejas di kawasan bandar bagi memudahkan golongan sasar ini mempunyai mata pencarian.

Acara kemuncak Program Kerjaya UP akan diadakan di Pusat Komuniti Setiawangsa, Kuala Lumpur pada Isnin (12 April) ini di mana sesi temu duga oleh majikan dari pelbagai industri akan dijalankan dengan 10,305 kekosongan jawatan ditawarkan.

Menurut Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz, program Kerjaya UP antara lain akan menyediakan perkhidmatan kaunseling kerjaya, klinik penghasilan resume dan temuduga, kaunter sesi pendaftaran perniagaan serta khidmat nasihat keusahawanan dan kewangan, latihan kerjaya serta pendaftaran e-Kasih.

"Seiring dengan aktiviti turun padang yang dilaksanakan Perkeso bagi membantu memudahkan golongan mudah terjejas dari kawasan Perumahan Awam (PA) dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) mendapatkan pekerjaan, Perkeso turut menyediakan insentif bagi menggalakkan majikan mengambil pekerja daripada golongan ini menerusi Program PenjanaKerjaya.

"Insentif khas PenjanaKerjaya sehingga RM6,000 sebulan disediakan bagi majikan yang mengambil pekerja dari kategori mudah terjejas dan hingga RM4,000 sebulan untuk majikan yang mengambil pekerja tempatan bagi menggantikan pekerja asing di bawah kategori Malaysianisation.

"Pengangkutan percuma turut disediakan di lokasi terpilih untuk pencari kerja yang memerlukan bantuan pengangkutan," katanya.

Di bawah kategori Malaysianisation, pekerja tempatan yang bekerja dalam sektor yang mempunyai kebergantungan tinggi kepada pekerja asing adalah layak untuk menerima bayaran secara langsung dari RM500 hingga RM2,000 sebulan untuk tempoh enam bulan maksimum bagi setiap pekerja.

Program Kerjaya UP ini adalah tindakan susulan daripada sesi profiling program 'Jom Kerja' Perkeso yang telah dijalankan di beberapa lokasi PA dan PPR pada Mac 2021.

Program 'Jom Kerja' Perkeso telah mengenal pasti golongan mudah terjejas, termasuk golongan B40 ini yang terkesan teruk dari segi sosial dan ekonomi akibat pandemik Covid-19 yang melanda negara sejak lebih setahun lalu

"Perkeso berharap pencari kerja dari golongan B40 bandar akan menggunakan peluang ini untuk mendapatkan pekerjaan demi kelestarian hidup masing-masing.

"Pada masa yang sama, Perkeso juga sedang mengadakan program Penjana Kerjaya UP di negeri-negeri terpilih di luar Lembah Kelang," katanya lagi.

Mereka yang berminat boleh mendaftar di https://careerfair.perkeso.gov.my/

Maklumat lanjut berkenaan program ini boleh diperolehi menerusi laman sosial rasmi @EISPERKESO di Instagram, Facebook dan Twitter atau layari www.perkeso.gov.my.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain