suria

Lebih 2 juta rakyat Malaysia daftar untuk vaksin Covid-19 menerusi MySejahtera - Dr Noor Hisham

Petugas kesihatan menerima suntikan vaksin Covid-19. foto AZMAN GHANI/The Star

LEBIH dua juta rakyat Malaysia telah mendaftar untuk vaksin Covid-19, kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Ketua Pengarah Kesihatan menerusi posting di Facebook beliau berkata, setakat 3 petang Jumaat (5 Mac), sejumlah 2,024,356 telah mendaftar melalui aplikasi MySejahtera.

Jumlah itu menyaksikan peningkatan lebih setengah juta orang dalam tempoh empat hari selepas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin memberitahu bahawa setakat pukul 11 pagi Isnin (1 Mac), seramai 1,468,137 orang telah mendaftar untuk vaksin Covid-19 menerusi aplikasi MySejahtera.

Negara memulakan program imunisasi secara besar-besaran pada 24 Februari lalu, dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi individu pertama menerima suntikan vaksin.

Terdapat tiga fasa program imunisasi, dengan petugas barisan depan (frontliner) diberi suntikan vaksin pada fasa pertama dari Februari hingga April.

Fasa kedua bermula April hingga Ogos tahun ini, dengan kumpulan berisiko tinggi dan warga emas berusia 60 tahun ke atas untuk diiberi vaksin.

Selebihnya adalah penduduk Malaysia berumur 18 tahun ke atas akan diberi vaksin pada fasa ketiga, iaitu dari Mei 2021 hingga Februari 2022.

Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dijangka selesai sebelum akhir tahun ini, lebih awal daripada sasaran sebenar pada Februari tahun depan. - The Star

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain