suria

Guru 52 tahun didakwa cabul calon SPM

Tertuduh (kanan) dikawal polis keluar dari Lokap Sementara Mahkamah Sesyen Kota Bharu dan menjelaskan jaminan yang ditetapkan oleh Mahkamah Sesyen Kota Bharu. (Foto: Sinar Harian)

TATKALA netizen banyak memperkatakan mengenai nasib calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang perlu menduduki peperiksaan dalam musim pandemik, timbul pula satu cerita duka melibatkan seorang pelajar di negeri Kelantan.

Terbaharu, seorang guru lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Kota Bharu pada Ahad atas lima dakwaan melakukan kesalahan seksual bernafsu songsang terhadap remaja lelaki itu termasuklah perbuatan cabul pada Jumaat minggu lalu.

Guru sebuah sekolah rendah yang berusia 52 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Mengikut pertuduhan pertama, bapa lapan anak tersebut didakwa berkomunikasi melalui sistem aplikasi WhatApps dengan remaja berusia 17 tahun 10 bulan itu dan menawarkan motosikal jenis Yamaha LC berniat melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15 Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Kesalahan didakwa dilakukan di alamat Kampung Pauh Butut Peringat, Melor di sini pada jam 4.37 petang, 13 Januari lalu.

Bagi tuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 12(1) Akta Kesalahan- kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 12 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan boleh disebat jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, tertuduh didakwa memegang kemaluan dan mencabul kehormatan remaja itu di sebuah bilik hotel di Jalan Dusun Raja di sini pada jam 3 petang, 29 Januari lalu.

Pendakwaan bagi kedua-dua tuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 14 (a) dan 14 (d) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 14 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga disebat jika sabit kesalahan.

Sementara tuduhan keempat, tertuduh didakwa berkomunikasi secara seksual dengan mangsa sama di alamat Kampung Pauh Butut Peringat, Melor di sini pada jam 9.22,13 Januari lalu.

Bagi tuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 11 (1) (a) Akta Kesalahan- kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 11 (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun jika sabit kesalahan.

Pada tuduhan kelima, tertuduh didakwa dengan maksud seksual menggalakkan remaja itu melakukan aktiviti bersifat seksual iaitu merakam video lucah dirinya di alamat Kampung Pauh Butut Peringat, Melor di sini pada jam 10.31 pagi, 14 Januari lalu.

Pendakwaan bagi tuduhan kelima dibuat mengikut Seksyen 15 (f) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15 akta yang sama yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun atau denda maksimum RM 20,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Hajarul Falenna Abu Bakar manakala tertuduh diwakili peguam Ahmad Nuri Abdul Rahman.

Terdahulu, Hajarul Falenna tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh namun Ahmad Nuri bagi pihak anak guamnya memohon mahkamah supaya tertuduh dibenarkan jaminan.

“Tertuduh merupakan penjawat awam yang masih mengajar di sebuah sekolah dan berpotensi hilang pekerjaan jika tidak dibenarkan jaminan.

“Tertuduh juga menjaga ibu yang uzur dan abang yang berusia 64 tahun selain mempunyai lapan anak termasuk dua masing-masing anak tiri serta anak kandung yang menyambung pengajian di peringkat universiti, ” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin berjumlah RM30,000 dengan dua penjamin serta syarat tertuduh tidak boleh mengganggu mangsa dan saksi-saksi pendakwaan.

Guru itu juga perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap 1 hari bulan dan kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 11 April depan.

Tertuduh kemudian membayar jaminan itu. - Sinar Harian.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain