suria

4 nelayan mangsa bot karam ditemui selamat, seorang masih hilang

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Mohammad. Foto: Sinar Harian

EMPAT nelayan yang dilaporkan hilang di laut selepas bot yang dinaiki mereka karam berhampiran Pulau Perhentian, pada malam Khamis, ditemui selamat pada pagi Jumaat.

Bagaimanapun seorang lagi nelayan dilaporkan masih hilang.

Menurut Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Mohammad, tekong bot iaitu Tuan Azaha Tengku Long, 47, dari Pasir Putih, Kelantan dan tiga awak-awak iaitu Tuan Azrizal Tuan Azhar, Mohd Azri Mohd Rosdi dan Ujang telah dijumpai di Pantai Coral View, Pulau Perhentian Besar.

Kesemua mangsa yang memakai jaket keselamatan ditemui penduduk kampung dan telah dibawa ke Klinik Pulau Perhentian untuk mendapatkan rawatan lanjut.

"Seorang lagi mangsa iaitu Saari Saleh, 40-an, berasal dari Terengganu masih belum ditemui," katanya.

Tambah Abdul Rozak, usaha mencari dan menyelamat di laut sedang giat dijalankan oleh pasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan polis marin di lima batu nautika dari kawasan kejadian.

Terdahulu, lima nelayan berkenaan keluar untuk menangkap ikan di sekitar perairan Terengganu.

Bagaimanapun, bot yang dinaiki mereka karam berhampiran Pulau Perhentian kira-kira jam satu tengah hari, Khamis, ekoran dimasuki air dan disyaki bocor selain keadaan cuaca yang kurang baik. - SINAR HARIAN

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain