suria

Jual keputusan saringan Covid-19 palsu kepada pekerja warga asing, 2 individu ditahan polis

Polis masih mencari baki pekerja yang kini bersembunyi serta mereka yang bertanggungjawab menghasilkan keputusan ujian Covid-19 palsu. (Gambar Hiasan) FAIHAN GHANI/The Star

TIMBUL pendedahan bahawa ada warga asing yang membeli hasil ujian saringan Covid-19 negatif yang palsu bagi membolehkan mereka bekerja.

Keputusan palsu itu didakwa dikeluarkan oleh doktor, dijual pada harga antara RM300 sehingga RM500 setiap satu.

Difahamkan, polis mengesan perbuatan ini berdasarkan laporan seorang doktor, mendakwa nama kliniknya digunakan dalam penipuan tersebut melibatkan sebilangan pekerja Bangladesh.

Menurut sumber, kejadian berlaku apabila sebuah syarikat di Senai, Johor yang berhasrat mengupah sekurang-kurangnya lapan pekerja Bangladesh untuk operasi mereka.

"Pekerja menyerahkan hasil ujian dari klinik swasta ke jabatan sumber manusia syarikat.

"Namun ketika pegawai syarikat itu menghubungi doktor klinik untuk mengesahkan ujian, dia diberitahu bahawa mereka tidak mempunyai rekod seperti itu," kata sumber.

Sepasukan pegawai dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Iskandar Puteri kemudian mengesan dan menangkap dua individu iaitu pekerja tempatan dan pengurus asrama Bangladesh untuk membantu siasatan.

Kata sumber, polis juga mencari baki pekerja yang kini bersembunyi serta mereka yang bertanggungjawab menghasilkan keputusan ujian Covid-19 palsu.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar mengesahkan penangkapan kedua-dua suspek dan berkata siasatan masih dijalankan. - The Star.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain