suria

Selangor catat jangkitan tertinggi daripada 1,212 kes pada Isnin, lelaki usia 22 tahun antara 3 kes kematian baharu

saringan 3

PERKEMBANGAN terkini penularan Covid-19 di negara ini merekodkan 1,212 kes baharu, menjadikan keseluruhan 65,697 kes setakat Isnin.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 10,578 kes, dan mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

Beliau berkata, negeri Selangor pada Isnin melaporkan kes harian tertinggi iaitu sebanyak 402 kes diikuti oleh Sabah (326 kes) dan Negeri Sembilan (141 kes).

ARTIKEL BERKAITAN: Malaysia catat 1,309 kes pada Ahad, KL paling tinggi

Menurut Dr Noor Hisham, daripada 1,212 kes baharu yang dilaporkan, terdapat sembilan kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

"Adalah dimaklumkan bahawa terdapat pertambahan tiga kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan pada hari ini.

"Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 360 kes," katanya pada sidang media, petang Isnin.

Menurut Dr Noor Hisham, antara tiga kes kematian yang dilaporkan, salah satunya melibatkan lelaki warganegara berusia 22 tahun yang menghidap penyakit darah tinggi dan buah pinggang kronik.

Beliau berkata, sebanyak 2,112 kes telah pulih Covid-19 pada Isnin dan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah 54,759 kes.

"Sehingga kini, terdapat 113 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di mana 42 kes memerlukan bantuan pernafasan," katanya.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, terdapat tiga kluster baharu dikesan pada Isnin.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain