suria

“KKM akan buat penilaian risiko minggu ini” - PKPB lanjut atau tamat? Ismail Sabri beri bayangan buat pengumuman pada Jumaat

Kerajaan dijangka membuat pengumuman mengenai status PKPB di beberapa negeri pada Jumaat ini. Foto: Bernama

TANDA tanya sama ada kerajaan akan melanjutkan atau menamatkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di beberapa negeri termasuk Selangor dan Lembah Klang, bakal diketahui pada Jumaat ini.

Menteri Kanan (Keselamatan) yang juga Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan dijangka membuat pengumuman tiga hari sebelum PKPB tamat, bagi memudahkan rakyat membuat perancangan masing-masing.

Untuk rekod, PKPB di beberapa negeri dijadualkan tamat pada 6 Disember ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Covid-19 makin ganas... Kerajaan umum PKPB selama 4 minggu di seluruh Semenanjung kecuali 3 negeri, akan pertimbang PKPD di Sabah

ARTIKEL BERKAITAN: Ramai resah, tertanya-tanya PKPB di Selangor, KL disambung atau tak? Ini jawab Ismail Sabri

"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan membuat penilaian risiko di minggu terakhir. Selangor dan Wilayah (bakal tamat) 6 Disember. KKM akan buat penilaian risiko dari segi kebolehjangkitan. Biasanya beberapa hari sebelum tamat tempoh, KKM akan menasihatkan mesyuarat khas MKN dan saya umum sewaktu sidang media.

"Tanggal 6 Disember jatuh pada Ahad, saya percaya pada Jumaat ada sidang media saya, maka hari Jumaat saya akan umum kerana pada hari itu juga ada mesyuarat MKN.

"KKM akan bentangkan dalam mesyuarat itu. InsyaAllah kita akan umum awal supaya mempermudahkan orang ramai dari segi perancangan," demikian menurut Ismail Sabri ketika sidang media pada Isnin petang.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan pemberita yang mengajukan sama ada kerajaan akan membuat pengumuman lebih awal bagi memudahkan pergerakan dan perancangan terutama dari segi penjadualan kerja.

Pada 7 November lalu, Ismail Sabri mengumumkan kerajaan terpaksa menguatkuasakan PKPB di beberapa buah negeri kecuali Pahang, Kelantan dan Perlis susulan peningkatan kes Covid-19.

Bagaimanapun pada 20 November lalu, kerajaan mengumumkan tempoh PKPB beberapa negeri iaitu Kedah (kecuali Kulim), Johor (kecuali Mersing dan Kota Tinggi), Melaka dan Terengganu ditamatkan lebih awal susulan kes positif semakin menurun dan terkawal manakala Kelantan dikenakan PKPB.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain