suria

Dr Noor Hisham jawab dakwaan takut mati - “Turun padang atau tidak, kematian itu berlaku di mana-mana... yang penting niat”

Dr Noor Hisham menjawab dakwaan King Sing.

KETUA Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah tampil mengulas dakwaan seorang ahli Parlimen yang menyatakan beliau takut mati kerana tidak turun padang di Sabah ketika pandemik Covid-19.

"Tidak timbul isu kita takut mati. Sebagai orang Islam, kita terima kematian itu berlaku di mana-mana, bukan hanya turun padang atau tidak.

"Jadi, apa yang penting adalah kita pasangkan niat kita untuk melaksanakan tugas.

ARTIKEL BERKAITAN: Dewan Rakyat kecoh... Tak turun padang ke Sabah, MP Bintulu dakwa Dr Noor Hisham takut mati - "Jangan hantar doktor, jururawat saja"

"Niat kita adalah untuk memutuskan rantaian Covid-19 dalam negara kita. Dan inilah tujuan utama untuk kita.

"Kita boleh berselisih pendapat, tetapi yang pasti apa yang kita laksanakan ialah untuk memutuskan jangkitan Covid-19 supaya kita dapat selamatkan negara kita daripada peningkatan kes Covid-19 dan juga kadar kematian," katanya pada sidang media.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing yang mempersoalkan mengapa Dr Noor Hisham tidak turun padang di Sabah yang mencatatkan peningkatan kes Covid-19 di negeri itu.

Dr Noor Hisham berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membuat perancangan yang khusus untuk Sabah ketika pandemik Covid-19.

"Saya turun padang di Sabah pada akhir Ogos lalu bagi meninjau kesiapsiagaan kita, melihat kepada pilihan raya negeri (PRN) Sabah," katanya.

Beliau turut mengarahkan timbalannya, Datuk Dr Chong Chee Keong untuk ke Sabah pada minggu lalu, termasuk Penasihat Khas Kesihatan Awam kepada Perdana Menteri, Tan Sri Jamilah Mahmood juga turut sama ke Sabah dua minggu lalu bagi meninjau tindakan pengurusan KKM terhadap Covid-19 di negeri itu.

Terdahulu, King Sing ketika sesi lisan membahaskan berkaitan usaha memerangi pandemik Covid-19 di kawasan Sabah dan Sarawak, di Dewan Rakyat mendakwa Ketua Pengarah Kesihatan takut mati.

"DG (Ketua Pengarah Kesihatan) hari-hari buat berita, bagi 'Office Boy' (budak pejabat) boleh baca. Kenapa dia tidak turun padang?

"Macam di Kota Kinabalu, Sabah begitu teruk pandemik Covid-19. Kenapa dia tidak melawat setiap hospital dan hospital sementara, pergi tengok, berbincang dan beri sokongan moral kepada frontliners.

"Jangan hantar doktor, jururawat saja pergi sebab itu orang (frontliners) tidak takut mati, tapi DG takut mati. Timbalan DG pun tak pergi," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain