suria

Dewan Rakyat kecoh... Tak turun padang ke Sabah, MP Bintulu dakwa Dr Noor Hisham takut mati - “Jangan hantar doktor, jururawat saja”

King Sing mempersoalkan mengenai Dr Noor Hisham (gambar kecil) ketika perbahasan di Dewan Rakyat.

SIDANG Dewan Rakyat di Parlimen pada Rabu kecoh apabila seorang ahli Parlimen mendakwa Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah takut mati.

Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing mempersoalkan mengapa Dr Noor Hisham tidak turun padang di Sabah yang mencatatkan peningkatan kes Covid-19 di negeri itu.

"DG (Ketua Pengarah Kesihatan) hari-hari buat berita, bagi 'Office Boy' (budak pejabat) boleh baca. Kenapa dia tidak turun padang?

ARTIKEL BERKAITAN: Dr Noor Hisham jawab dakwaan takut mati - "Turun padang atau tidak, kematian itu berlaku di mana-mana... yang penting niat"

"Macam di Kota Kinabalu, Sabah begitu teruk pandemik Covid-19. Kenapa dia tidak melawat setiap hospital dan hospital sementara, pergi tengok, berbincang dan beri sokongan moral kepada frontliners.

"Jangan hantar doktor, jururawat saja pergi sebab itu orang (frontliners) tidak takut mati, tapi DG takut mati. Timbalan DG pun tak pergi," katanya.

Kenyataan itu membangkitkan rasa tidak puas hati dalam kalangan beberapa ahli Parlimen termasuk RSN Rayer (Jelutong).

Rayer bangun dan meminta King Sing menarik balik kata-kata beliau yang disifatkan 'kurang ajar' kerana tidak menghormati Dr Noor Hisham sebagai petugas barisan hadapan yang memerangi Covid-19.

"Saya minta Bintulu tarik balik kenyataan DG takut mati. Saya tak akan benarkan dia hentam DG. DG adalah petugas barisan hadapan.

"Jangan kurang ajar Bintulu. Tarik balik minta maaf. Mana boleh hentam DG," tegasnya.

Suasana semakin tegang dengan campur tangan beberapa wakil rakyat lain.

Kekecohan berterusan menyebabkan Rayer diarah keluar daripada sidang Dewan Rakyat oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said selepas dengan sengaja menimbulkan kekecohan.

Azalina sebelum itu meminta Rayer duduk ketika sesi perbahasan King Sing (GPS-Bintulu) berkaitan usaha memerangi pandemik Covid-19 di kawasan Sabah dan Sarawak. Bagaimanapun wakil rakyat Bintulu itu tetap tidak menarik balik kenyataannya itu.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain