suria

Covid-19: 23 pekerja Tropicana resort disahkan positif

Sejumlah pekerja Tropicana resort positif Covid-19. -gambar hiasan/Foto Bernama

SEKURANG-kurangnya 23 pekerja warga tempatan dan warga asing di Tropicana Golf and Country Resort di Petaling Jaya, Selangor disahkan positif Covid-19.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, terdapat 11 kes positif dikenal pasti pada Ahad (11 Oktober).

"Kita baru mendapat maklumat daripada Kementerian Kesihatan bahawa 12 lagi disahkan positif pada pagi Isnin (12 Oktober).

"Ini menjadikannya jumlah keseluruhan 23 kes positif di kawasan asrama pekerja Tropicana Golf and Country Resort," katanya kepada pemberita di luar asrama pekerja pada Isnin.

Beliau berkata, anggota polis juga ditugaskan ke lokasi tersebut pada Ahad setelah mendapati ia masih beroperasi.

"Kementerian Kesihatan telah mengeluarkan perintah untuk menutup resort golf itu pada Sabtu (10 Oktober).

"Pegawai Kementerian Kesihatan membuat laporan pada Ahad di balai polis Damansara bahawa ia masih beroperasi dan sepasukan anggota polis yang diarahkan ke sana mengesahkannya," katanya.

Menurut Nik Ezanee, kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Seksyen 22 (B) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit kerana dengan cuai melakukan tindakan yang mungkin menyebarkan penyakit berjangkit yang berbahaya.

Mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang ditingkatkan di asrama pekerja, beliau berkata, 20 anggota polis berada di lapangan untuk menguatkuasakan perintah itu.

"Seramai 597 kakitangan yang terdiri daripada penduduk tempatan dan warga asing perlu menjalani pemeriksaan. Kami diberitahu bahawa pemeriksaan akan bermula pada Rabu," katanya.

Terdahulu, kerajaan memutuskan melaksanakan PKPD di asrama Tropicana bermula Isnin (12 Oktober) sehingga 25 Oktober berikutan beberapa kes positif Covid-19 dikesan dalam kalangan pekerja resort itu. - The Star

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain