suria

Gagal patuhi SOP hidangan bufet, Ismail Sabri tegaskan wajib sediakan pramusaji, sarung tangan pakai buang elak senduk dipakai berulang kali

Masih ramai ingkar SOP mengenai pengendalian hidangan makanan bufet di restoran dan kafe restoran.

SEJAK restoran dan kafe di hotel mula dibuka kepada orang ramai, kerajaan mendedahkan prosedur operasi standard (SOP) mengenai pengendalian hidangan secara bufet gagal dipatuhi.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, setiap pengendali restoran mahupun kafe di hotel-hotel perlu menyediakan pramusaji atau sarung tangan pakai buang untuk mengelak senduk digunakan berulang kali oleh pelanggan.

"Kita dapati banyak kes di mana apabila bufet disediakan peraturan yang kita tetapkan sebelum ini tidak dipatuhi.

"Dua peraturan yang perlu dipatuhi adalah hidangan mesti disajikan oleh pramusaji kerana kita tidak mahu penggiliran senduk digunakan ramai-ramai orang.

"Pengendali juga harus menyediakan sarung tangan nipis pakai buang. Ini bermakna setiap orang pakai untuk ambil makanan," katanya pada sidang media petang Khamis.

Justeru beliau menggesa agar saranan yang ditetapkan kerajaan itu dipatuhi setiap pengendali restoran dan kafe hotel.

"Saya rasa SOP tersebut simple saja. Saya harap restoran dan coffee house patuh kepada SOP yang diperkenalkan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Kalau tidak patuh kepada SOP peraturan di bawah Akta 342 masih boleh digunakan. Mereka boleh dikenakan kompaun atau dihadapkan ke mahkamah," katanya.

Sebelum ini, Ismail Sabri turut mengumumkan SOP tersebut turut digunapakai untuk majlis sosial seperti kenduri kahwin, majlis perkahwinan atau pertunangan, majlis reunion dan majlis aqiqah, doa selamat atau tahlil.

Beliau berkata tiada hidangan bufet disediakan tetapi hidangan hanya akan disajikan pramusaji dalam setiap majlis yang dianjurkan.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain