"Terima kasih kerana nak mengajar saya, tapi saya rasa saya lagi lama..." - Azalina

Azalina menegur beberapa ahli parlimen pada sesi petang sidang Dewan Rakyat pada Rabu.

SESI petang sidang Dewan Rakyat pada Rabu bermula lewat apabila Timbalan Speaker, Datuk Seri Azalina Othman Said lewat memasuki dewan.

Ketika jam menunjukkan pukul 2.30 petang, Azalina belum kelihatan di kerusinya.

Ahli Parlimen Jelutong (PH), RSN Rayer secara sinis mempersoal adakah itu menjadi cara kerajaan Perikatan Nasional (PN) menguruskan Sidang Parlimen.

"Yang berhormat Arau (Datuk Seri Dr Shahidan Kassim), adakah ini cara PN menjalankan Persidangan Parlimen sebab ini dah 2.30.

"Ini adalah hari yang bersejarah. Parlimen bermula lewat di bawah PN. Hari yang sangat menyedihkan, memalukan," katanya.

Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (BN-Arau) kemudian bangkit menjawab bahawa kelewatan itu berlaku kerana blok pembangkang memohon untuk menukar kerusi.

"Sebab kamu semua (pembangkang) minta tempat duduk baru, itulah sebab dia lewat. Semua mintak tempat duduk yang baru," katanya.

Kekecohan berlarutan lebih lima minit sebelum keadaan kembali reda selepas Azalina (BN-Pengerang) memasuki dewan.

Situasi selepas itu kemudiannya dihujani teguran demi teguran Azalina kepada wakil rakyat.

Malahan, beliau beberapa kali timbalan Yang Dipertua wanita pertama itu menutup mikrofon anggota dewan untuk menegur.

Ahli Parlimen Arau yang pertama ditegur ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah apabila beberapa ahli parlimen pembangkang berdiri untuk mencelah ucapannya termasuk RSN Rayer.

Suasana gamat yang tercetus menyebabkan Azalina dengan tegas bersuara: "Sila duduk Jelutong. Bagaimana saya nak bercakap jika kamu juga bercakap pada masa sama."

Kemudian, beliau membidas Teo Nie Ching (DAP - Kulai) yang bangun mengatakan Yang Dipertua Datuk Azhar Azizan Harun tidak faham perlunya agihan masa yang adil antara pembahas pembangkang dan kerajaan.

"Terima kasih kerana nak mengajar saya, tapi saya rasa, saya lagi lama (jadi ahli parlimen) daripada Kulai. Arahan (daripada YDP) yang saya dapat 20 minit (tempoh berbahas), nanti saya tanya semula YDP," katanya yang ketika itu membenarkan Lim Guan Eng (DAP-Bagan) berbahas.

"Saya minta semua sabar dulu, nanti kita akan tengok macam mana nak selesaikannya," katanya yang memaklumkan pihaknya akan bermesyuarat sebelum ketetapan diumumkan pukul 10 pagi Khamis.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Azalina, Dewan Rakyat, Arau, Jelutong, bahas

Artikel Berkaitan

Artikel Lain