suria

Terkini 18 kes baharu Covid-19, kematian kekal 121 kes

Petugas kesihatan merawat seorang pesakit Covid-19. -foto Bernama

PERKEMBANGAN kes Covid-19 di Malaysia merekodkan 18 kes baharu, menjadikan keseluruhan 8,634 kes setakat Ahad.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 195 kes, dan mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

Katanya, daripada 18 kes baharu yang dilaporkan, empat kes import mendapat jangkitan di luar negara melibatkan tiga warganegara Malaysia dan seorang bukan warganegara yang merupakan pemastautin tetap atau dibenarkan masuk ke Malaysia atas urusan kerja.

Beliau menambah, daripada 14 kes penularan di dalam negara, kesemua kes adalah dalam kalangan bukan warganegara Malaysia.

"Adalah dimaklumkan bahawa tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan pada hari ini.

"Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 121 kes," katanya dalam satu kenyataan, petang Ahad.

Setakat Ahad, 10 kes telah pulih dan dibenarkan discaj menjadikan 8,318 kes keseluruhan pulih di Malaysia.

Sementara itu, Dr Noor Hisham mengesahkan dua kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tiada kes memerlukan bantuan pernafasan.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain