suria

Pekerja kilang direman kes buang mayat bayi dalam loji kumbahan

Operator pengeluaran sebuah kilang di Ayer Keroh direman empat hari di Mahkamah Majistret, Rabu bagi membantu siasatan kes menyembunyikan kelahiran dan membuang mayat bayi dipercayai lelaki berusia lima hingga tujuh bulan dalam kandungan ke dalam loji kumbahan sebuah rumah di Kampung Kandang, Selasa.-fotoBERNAMA

SEORANG operator pengeluaran sebuah kilang di Ayer Keroh, Melaka direman empat hari bagi membantu siasatan kes menyembunyikan kelahiran dan membuang mayat bayi dalam loji kumbahan sebuah rumah di Kampung Kandang, Selasa.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka ACP Mohd Nor Yhazid Idris berkata tempoh reman sehingga Sabtu ini terhadap suspek lelaki, 25 tahun itu dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Melaka, Mohd Anuar Ostadi di Kompleks Mahkamah Melaka.

“Penahanan reman itu dibuat bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan, ” katanya ketika dihubungi, Rabu.

Beliau berkata seorang lagi suspek iaitu wanita berumur 23 tahun yang merupakan operator pengeluaran sebuah kilang di Batu Berendam dibebaskan dengan jaminan polis berikutan wanita itu sedang mendapatkan rawatan di Hospital Melaka kerana demam.

Semalam, Mohd Nor Yhazid dilaporkan berkata sepasang kekasih ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kes menyembunyikan kelahiran dan membuang mayat bayi dipercayai lelaki berusia lima hingga tujuh bulan dalam kandungan di sebuah loji kumbahan di Kampung Kandang.

Beliau dipetik sebagai berkata siasatan awal mendapati suspek wanita itu makan sejenis ubat gugurkan kandungan yang dibelinya di laman sosial Facebook, manakala suspek lelaki mengaku menerima mayat bayi berbalut plastik daripada teman wanitanya itu dan dipercayai telah membuang mayat berkenaan di loji kumbahan di rumahnya. -Bernama

loji, kumbahan, bayi, mayat

Artikel Lain