Sempadan negara mungkin dibuka jika kes tempatan terkawal - KP Kesihatan

Malaysia bersedia buka sempadan jika kes tempatan berjaya dikawal dan adanya persefahaman SOP antara negara.

KERAJAAN akan meneliti pembukaan semula sempadan jika negara ini berterusan mencatatkan kes rendah sehingga 31 Ogos 2020.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, hal itu akan menjadi fokus seterusnya jika penularan tempatan berjaya dikawal.

ARTIKEL BERKAITAN: Malaysia catat 2 kes positif Covid-19, paling rendah sejak PKP... lelaki warga emas korban ke-118

"Mungkin kita boleh melihat kepada beberapa negara. Contohnya negara dalam status 'green bubble' dan mempunyai kesefahaman prosedur operasi standard (SOP).

"Kemudian baru kita boleh laksanakan. Ini sesuatu yang kita perlu nilai semula dan beri perhatian dari semasa ke semasa," ujarnya.

Tambah Dr Noor Hisham, pihaknya juga akan merujuk kepada indeks global Covid-19 dalam memperhalusi hal itu.

Dalam sidang media sama, Dr Noor Hisham memberi bayangan sekiranya hal itu boleh dilakukan terlebih dahulu dengan negara-negara jiran.

"Pertama lihat indeks global, kedua lihat juga negara-negara jiran kita. Mungkin boleh mula berbincang dengan Singapura, Brunei dan Thailand.

"Paling penting tentunya kesefahaman SOP antara dua negara," ujarnya.

Pada Isnin, Dr Noor Hisham turut becakap mengenai usaha membuka semula sempadan kepada negara-negara yang menunjukkan rekod pemulihan Covid-19 yang baik.

Namun katanya, ia kini masih lagi berada dalam fasa perbincangan.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain