suria

Semua PBT berkuasa tutup taman awam jika SOP PKPB dilanggar - Ismail Sabri

Taman Tasik Titiwangsa ditutup untuk kunjungan awam berkuat kuasa pada Khamis. Foto: MUHAMAD SHAHRIL ROSLI/The Star

KUASA untuk menutup taman rekreasi atau kawasan riadah awam terletak di bawah kelolaan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Hal itu dijelaskan oleh Menteri Kanan (Keselamatan) yang juga Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai mengulas pertanyaan pemberita sama ada kerajaan akan mengambil tindakan menutup taman awam bagi mengelak orang ramai berkumpul sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

ARTIKEL BERKAITAN: Langgar SOP ketika Aidilfitri? Bersedia terima polis sebagai ‘tetamu’ hari raya

"Kuasa menutup seperti Taman Tasik Titiwangsa dan sebagainya terletak pada Pihak Berkuasa Tempatan.

"Itu hak PBT untuk ambil tindakan menutup apabila melihat bahawa prosedur operasi standard (SOP) telah dilanggari kerana berkumpul melebihi jumlah sepatutnya.

"Terserah kepada PBT untuk menutup atau tidak," katanya dalam sidang media harian pada Jumaat.

Pada Khamis, kawasan riadah yang terkenal di ibu negara, Taman Tasik Titiwangsa ditutup sepenuhnya kepada kunjungan awam.

Langkah penutupan segera itu diambil apabila pemantauan sebelum ini mendapati wujud pelanggaran SOP dalam kalangan pengunjung.

Menurut jurucakap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), langkah itu bertujuan mengelakkan penularan wabak Covid-19 kerana kehadiran pengunjung yang ramai di taman berkenaan sejak ia kembali dibuka pada 4 Mei lalu selari dengan PKPB.

Mengulas lebih lanjut, Ismail bagaimanapun mengingatkan orang ramai untuk mengelakkan sebarang perkumpulan kerana ia jelas melanggar SOP yang ditetapkan kerajaan.

"SOP yang dikeluarkan adalah jelas iaitu mana-mana tindakan yang boleh menyebabkan perkumpulan ramai, itu adalah salah kerana ia terletak di bawah senarai yang terlarang," ujarnya lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

taman awam, PBT, SOP

Artikel Lain