suria

Cuti ke luar negara cetus tsunami gelombang ke-3 Covid-19

TSUNAMI gelombang ketiga wabak Covid-19 dijangka melanda negara ini berikutan sejumlah besar rakyat Malaysia bercuti ke luar negara semasa penggal cuti sekolah pertengahan bulan ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya menjangka situasi itu selepas rakyat Malaysia didapati bercuti ke Jepun dan Korea walaupun negara-negara itu dikenal pasti berisiko tinggi untuk dilawati termasuk Itali dan Iran.

Malah, beliau mendedahkan ada kementerian memberi kelulusan kepada 8,000 kakitangannya untuk bercuti di luar negara.

ARTIKEL BERKAITAN: WHO pilih Malaysia jalankan penyelidikan Covid-19 guna ubat antiviral Remdesivir

"Saya dimaklumkan, ada satu kementerian, 8,000 warga kementerian itu diluluskan atau beli tiket untuk melancong, contoh di Jepun, Korea dan sebagainya.

"Kita dah tahu gelombang kedua melibatkan warga Malaysia dan kes mereka adalah kes import. Contoh lihat kes 23, pergi Jepun dengan keluarga dan balik positif.

"Oleh itu kita takut bila 32,000 dari pelancong warga Malaysia ke Korea, Jepun, Itali dan sebagainya, bila kembali maka kita mungkin akan dapat kes import yang mendadak," katanya pada sidang akhbar di Putrajaya, Jumaat.

Beliau berkata, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah  merupakan sebahagian daripada persediaan menghadapi gelombang ketiga.

"Kami menjalankan PKP ini sebagai persiapan untuk jangkaan kami, di mana tiga minggu lalu kami fikir akan ada gelombang ketiga, atau apa yang kami panggil tsunami," katanya.

Beliau berkata kerajaan tidak akan berupaya untuk melakukan kuarantin terhadap sejumlah besar pesakit.

Sehubungan itu kata beliau, PKP adalah pilihan terbaik untuk memutuskan rantaian jangkitan.

"Duduk di rumah, pastikan dua minggu, (jika) ada sejarah perjalanan (ke luar negara), duduk dalam rumah, jadi kita boleh kuarantin di rumah," katanya.

Noor Hisham berkata langkah kedua selepas PKP adalah mengesan kes yang disyaki, membuat ujian dan mengasingkan mereka yang didapati positif dan merawat mereka di hospital.

tsunami, Covid-19, KKM, Noor Hisham

Artikel Lain