suria

Ayuh bersama Yayasan Star! Kumpul dana bantu barisan hadapan kesihatan perangi Covid-19

Pasukan perubatan di seluruh negara sedia berkhidmat tanpa mengira waktu bagi menjamin keselamatan rakyat negara ini susulan penularan wabak Covid-19.

YAYASAN Star dan Kumpulan Media Star Bhd (SMG) menggesa orang ramai bersama-sama menyokong barisan hadapan dalam kalangan pasukan perubatan ketika berdepan waktu sukar penularan wabak Covid-19.

Sasaran mengumpul dana sebanyak RM1juta menerusi "Star Front Liners Initiative" diwujudkan untuk membiayai keperluan perubatan untuk hospital dan kakitangan perubatan yang bekerja tidak kira siang atau malam bagi memastikan keselamatan awam terjamin.

"Rakyat Malaysia sentiasa menyokong usaha Yayasan Star dan bermurah hati dalam menyalurkan sumbangan untuk menyediakan bantuan keperluan peralatan perubatan.

"Hasil bantuan pembaca kami, banyak pembedahan perubatan telah direalisasikan sejak lima tahun lalu.

"Kini kami mahu melakukan lebih lagi dan dalam situasi mencabar ini tentunya kita mampu lakukan jika kekal bersama," kata Pengerusi SMG dan Yayasan Star, Datuk Fu Ah Kiow.

Menerusi usaha ini dan dana yang dikumpul, sumbangan peralatan perubatan akan diserahkan kepada Kementerian Kesihatan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SMG, Andreas Vogiatzakis berkata, ini adalah antara cara untuk menghulurkan bantuan kepada pasukan di barisan hadapan.

"Kakitangan perubatan kita sedang bertarung dengan Covid-19 di barisan hadapan. Jadi, kita mahu menyokong hero negara ini sebaik mungkin dengan kerjasama pembaca kami. Sekurang-kurangnya itu yang dapat kami lakukan.

"Menerusi inisiatif ini, kita mahu sampaikan mesej bahawa orang ramai sentiasa di belakang mereka dan bukan membiarkan mereka sendirian," katanya.

Setakat Selasa, Covid-19 seramai 1,624 orang telah dijangkiti dan meragut 16 nyawa di negara ini.

Sumbangan boleh disalurkan ke akaun Public Bank Yayasan Star-Tabung Perubatan (31-9984-9230) menerusi pindahan bank, kad kredit atau debit.

Bagi pengecualian cukai, resit akan dikeluarkan selepas penyumbang melengkapkan borang Derma Tabung Perubatan yang tersedia di laman web starfoundation.com.my.

Ditubuhkan pada 2004, Yayasan Star adalah sisi kebajikan SMG dengan matlamat melaksanakan inisiatif bermakna dan jangka panjang untuk pelbagai kumpulan masyarakat.

Program Tabung Perubatan telah bermula pada 2015 bagi membantu individu dan keluarga yang memerlukan daripada segi kewangan dan aspek perubatan.

Artikel Lain