suria

“Maaf atas kekeliruan yang berlaku” - JKN Kelantan pertahan SOP urus jenazah Covid-19 tidak sebut pengebumian dilakukan anggota kesihatan

JKN Kelantan akan terus membuat penambahbaikan bagi mengelakkan kekeliruan berhubung pengurusan jenazah yang meninggal dunia akibat wabak tersebut.

JABATAN Kesihatan Negeri (JKN) Kelantan menyatakan kekesalan dan memohon maaf susulan kekeliruan yang berlaku membabitkan urusan pengebumian jenazah Covid-19 ke-8 sebagaimana yang dibangkitkan oleh waris mangsa, baru-baru ini.

Menerusi satu kenyataan pada Selasa, Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, pihak JKN negeri itu akan membuat penambahbaikan bagi mengelakkan kekeliruan berhubung pengurusan jenazah korban akibat wabak tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: “Ada sedikit perselisihan faham...” - Isu waris urus sendiri pengebumian jenazah mangsa Covid-19 sedang disiasat

ARTIKEL BERKAITAN: Berlima kebumi jenazah korban Covid-19 jam 2.30 pagi, waris tuntut penjelasan - “Kami tiada kepakaran... kalau bukan kerana Covid-19, tiada masalah”

"Pihak JKN Kelantan menyesali dan memohon maaf di atas kekeliruan yang berlaku.

"Bagi mengelakkan kekeliruan dalam pengurusan jenazah Covid-19, pihak JKN Kelantan akan terus membuat penambahbaikan dan meningkatkan tahap pemahaman masyarakat dan pihak berwajib yang berkaitan dari masa ke semasa," katanya dalam kenyataan tersebut.

Dalam kenyataan itu juga, Dr Zaini turut memberi penjelasan mengenai garis panduan dan tatacara (SOP) bagi menguruskan jenazah pesakit Covid-19 serta penglibatan waris dalam pengurusan jenazah pesakit Covid-19.

Menurutnya, Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) pada 15 Mac 2020, bersetuju supaya pengurusan jenazah mangsa Covid-19 menggunapakai keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa MKI Kali ke-107, mengenai Hukum Pengurusan Jenazah Orang Islam yang disyaki atau disahkan dijangkiti Virus Ebola (EVD) di Malaysia.

Antara perkara yang dinyatakan dalam garis panduan tersebut adalah disyorkan jenazah yang disyaki Covid-19 dilupuskan secepat mungkin, jenazah tidak disyorkan untuk dicuci namun bagi jenazah Muslim, proses persediaan jenazah seperti memandi dan mengapankan mesti dilakukan di dalam bilik postmortem khas oleh kakitangan perubatan setelah selesai pemeriksaan fizikal.

Selain itu, pengawetan hendaklah dielakkan, jenazah perlu dimasukkan ke dalam bodybag dan ahli keluarga adalah dilarang daripada membuka bodybag dan penyerahan mayat kepada pihak yang menuntut perlu dilakukan dengan langkah berjaga-jaga yang ketat di bawah pengawasan Inspektor Kesihatan.

Dua waris dan tiga penduduk kampung yang menguruskan pengebumian jenazah mangsa pada awal pagi Ahad lalu. 

"Semua jenazah yang disyaki Covid-19, disyorkan untuk dilakukan pengebumian atau pembakaran mayat oleh pihak yang menuntut dengan segera, iaitu sebaik-baiknya pada hari yang sama dengan pemeriksaan dan postmortem dilakukan.

"Berdasarkan kedua-dua garis panduan tersebut, segala aktiviti semasa proses pengebumian perlu dilakukan di bawah pengawasan anggota kesihatan.

"Kedua-dua garis panduan itu bagaimanapun tidak dinyatakan proses pengebumian perlu dilakukan oleh anggota kesihatan," katanya lagi.

mStar pada Isnin melaporkan kenyataan waris kepada korban Covid-19 ke-8 yang mendakwa, berlaku kecelaruan SOP yang mana dia diminta oleh pegawai KKM Pasir Mas untuk menguruskan sendiri pengebumian jenazah bapanya, Hassan Abdul Wahab sebagaimana posting yang tular di Facebook.

Berdasarkan kedua-dua garis panduan tersebut, segala aktiviti semasa proses pengebumian perlu dilakukan di bawah pengawasan anggota kesihatan. Bagaimanapun tidak dinyatakan proses pengebumian perlu dilakukan oleh anggota kesihatan.

DATUK DR ZAINI HUSSIN

PENGARAH KESIHATAN NEGERI KELANTAN

Waris itu, Mohd Hafizudin Hassan mendakwa, pegawai KKM berkenaan memberitahu bahawa mereka hanya ditugaskan untuk memantau dan tidak terlibat dengan urusan pengebumian jenazah.

Perkara itu menurut Mohd Hafizudin, adalah bercanggah dengan taklimat yang diberitahu kepadanya oleh pihak hospital bahawa pihak KKM yang akan menguruskan semua urusan pengebumian jenazah mengikut cara wabak Ebola.

Selain itu katanya, dia juga diberitahu bahawa waris juga tidak boleh berada dekat tanah perkuburan dan tidak dibenarkan melihat jenazah.

Mangsa Covid-19 ke-8 yang dikenali sebagai Ustaz Hassan meninggal dunia pada 21 Mac lalu di HRPZ II.

Bagaimanapun, disebabkan keengganan pegawai KKM terbabit, urusan pengebumian malam itu diuruskan oleh lima individu termasuk dia bersama seorang adik lelaki dan dibantu oleh tiga penduduk kampung, yang mana kesemua mereka langsung tidak mempunyai kepakaran.

Susulan kecelaruan berkenaan, Mohd Hafizudin tampil menuntut penjelasan mengenai SOP cara pengurusan jenazah Covid-19 kerana tidak mahu perkara yang sama berulang ke atas mangsa yang lain.

Korban ke-8 Covid-19 yang juga dikenali sebagai Ustaz Hassan, 69 tahun, pada mulanya dimasukkan ke Hospital Tumpat pada 16 Mac 2020 setelah mengalami gejala demam sejak 12 Mac 2020.

Allahyarham telah dipindahkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ), Kota Bharu pada 18 Mac 2020 setelah didapati keadaan kesihatan merosot dan kemudian memerlukan bantuan alat pernafasan, sebelum disahkan meninggal dunia pada 21 Mac 2020 pada jam 4 petang.


Covid-19, waris, JKN, Kelantan, SOP

Artikel Lain