suria

“Jangan keluarkan sendiri peraturan wajibkan topeng muka, ikut garis panduan KKM” – Ismail Sabri

Kerajaan menggesa supaya semua pihak tidak melangkaui garis panduan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung pemakaian topeng muka. Gambar sekadar hiasan/Foto Bernama

MENTERI Kanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menggesa semua pihak agar tidak membuat peraturan sendiri terutama melangkaui garis panduan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) semasa Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata, polis, tentera, pihak berkuasa tempatan mahupun pasar raya tidak boleh mengenakan peraturan supaya memakai topeng muka untuk memasuki premis.

"Jangan buat peraturan melangkaui daripada apa yang diarahkan oleh Kementerian Kesihatan.

ARTIKEL BERKAITAN: Doktor popular dihalang masuk pasar raya, pulang ‘kosong’ kerana tak ada topeng - “Kenapa masih wajibkan? Bukan senang nak cari face mask sekarang”

"Terdapat pasar raya yang tidak membenarkan pelanggan masuk kerana mereka tidak pakai topeng muka. Ini adalah tidak wajar.

"Mereka boleh menasihatkan sebagai langkah-langkah pencegahan, tetapi mereka tidak boleh halang pelanggan daripada memasuki pasar raya.

"Malah, jalan-jalan disekat untuk menghalang orang daripada keluar masuk di kawasan perumahan. Ini juga salah, itu adalah kerja polis.

"Malah tentera pun tidak membuat sekatan jalan raya, tentera hanya membantu polis.

"Polis dan tentera juga tidak boleh mengarahkan orang ramai memakai topeng muka, tetapi hanya menasihatkan sebagai langkah-langkah pencegahan," kata Ismail Sabri.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai aduan orang awam berhubung pasar raya tertentu mewajibkan pelanggan untuk memakai topeng muka.

Pihak berkuasa tempatan seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) turut diberitahu mengenai adalah salah menetapkan peraturan kepada orang awam untuk memakai topeng muka.

"Arahan seperti itu daripada pihak berkuasa tempatan adalah tidak wajar. Pelanggan tidak perlu pakai, sebagaimana garis panduan Kementerian Kesihatan," kata Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa.

Garis panduan KKM hanya menyatakan bahawa petugas barisan hadapan (frontliner) dan mereka yang mempunyai simptom Covid-19 perlu memakai topeng muka.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, penjarakan sosial (social distancing) adalah mencukupi bagi mencegah jangkitan, buat masa ini. - The Star

topeng muka, face masuk, peraturan

Artikel Lain