suria

Covid-19: 10 juta topeng muka diimport dari China

Kerajaan akan mendapatkan bekalan sebanyak 10 juta topeng muka dari China bagi memenuhi keperluan di negara ini, susulan penularan wabak Covid-19. Gambar sekadr hiasan/Foto Bernama

SUSULAN penularan wabak Covid-19, sebanyak 10 juta topeng muka akan diimport bagi memenuhi keperluan di negara ini.

Perkara itu diumumkan oleh Menteri Kanan (Infrastruktur), Datuk Seri Fadillah Yusof pada sidang media pada tengah hari Sabtu selepas mesyuarat khas menteri-menteri mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan sejak 18 Mac lalu.

“Kerana kurangnya bekalan topeng muka, kerajaan putuskan semalam dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN), kita akan dapat bekalan dari China sebanyak 10 juta unit.

“Ia akan diselaraskan oleh Kementerian Pengangkutan yang akan dibawa menerusi penerbangan secara beransur-ansur,” katanya.

Beliau berkata, pengagihan topeng muka itu akan dilaksanakan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

“Pengagihan akan diutamakan kepada frontliner atau petugas barisan hadapan iaitu mereka yang menguruskan hal berkaitan Covid-19 seperti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), polis, imigresen dan tentera.

“Jika ada lebihan daripada 10 juta unit itu baru kita akan berikan kepada pasaran. Dan ia akan diuruskan oleh Nadma dengan kerjasama Pharmaniaga,” katanya.

Menurut Fadillah, urusan bekalan topeng muka itu akan dilakukan secepat mungkin.

“Urusan itu sudah dimuktamadkan. Fasa pertama berapa banyak dan sebagainya.

“Secara dasar, sudah pun ada persetujuan,” tambahnya.

Dalam pada itu, Fadillah mengulas mengenai kebimbangan orang ramai berikutan kesukaran untuk mendapatkan bekalan topeng muka sebagai perlindungan.

“Mengikut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Kementerian Kesihatan, orang-orang yang tidak terdedah atau tidak sakit, tak perlu pakai topeng muka,” katanya.

Beliau menambah, satu jawatankuasa dibentuk yang terdiri daripada Kementerian Kewangan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna serta Kementerian Pengangkutan bagi menentukan harga topeng muka berkenaan di pasaran. 

Artikel Lain