suria

Polis kuat kuasa sekatan antara negeri, orang ramai perlu isi borang khas

KPN Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata orang ramai yang mahu membuat perjalanan keluar dari negeri masing-masing perlu memaklumkan kepada pihak polis. Foto: Bernama

SEPANJANG tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasa bermula Rabu sehingga 31 Mac depan, orang ramai yang mahu membuat perjalanan keluar dari negeri masing-masing perlu memaklumkan kepada pihak polis.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, mereka yang berkenaan perlu mengisi borang khas (Borang Kebenaran Rentas Negeri) serta menyatakan keperluan untuk membuat perjalanan tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Covid-19: PM umum Perintah Kawalan Pergerakan mulai Rabu

ARTIKEL BERKAITAN: Covid-19: Malaysia catat 2 kematian pertama

"Peranan kami, mengawal pergerakan orang ramai dari satu negeri ke satu negeri, atau dari satu daerah ke satu daerah. Ini amat perlu kerana kita yakin ia dapat sekat penularan wabak ini.

"Apabila timbul keperluan, misalnya yang tinggal di Kuala Lumpur untuk balik ke Perlis atau Sabah, atau Sarawak, mereka boleh memaklumkan kepada ketua balai polis terdekat.

"Kita akan berikan satu dokumen yang menjelaskan, pembawa dokumen perlu membuat perjalanan atas sebab-sebab tertentu," ujarnya dalam sidang media pada Selasa.

Menurut Abdul Hamid lagi, pihaknya sedang menyediakan borang-borang di ibu pejabat polis daerah dan balai-balai polis yang terdapat di setiap daerah.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin malam mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan di negara ini bermula Rabu sehingga 31 Mac 2020.

Ia susulan penularan wabak Covid-18 yang kian meruncing.

Pada Selasa, Malaysia mencatatkan dua kes kematian pertama akibat wabak tersebut.

Mangsa pertama merupakan kes ke-178 iaitu seorang lelaki berusia 34 tahun yang pernah menghadiri perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Seri Petaling, tempoh hari.

Sementara itu, mangsa kedua merupakan kes yang ke-358, iaitu seorang pastor berusia 60 tahun dari Sarawak yang mempunyai sejarah penyakit kronik.

Sehingga Selasa, jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 673 kes.

Ia susulan pertambahan sebanyak 120 kes baharu telah dilaporkan.

sekatan, negeri, polis, perjalanan, dokumen

Artikel Lain