suria

Solat jemaah, solat Jumaat dan aktiviti keagamaan di masjid, surau WP ditangguh 10 hari - Zulkifli

Tempoh penangguhan 10 hari berkenaan adalah tertakluk kepada nasihat dan pandangan Kementerian Kesihatan Malaysia. fotoBERNAMA.

SUSULAN peningkatan kes Covid-19 di negara ini, solat Jumaat, solat berjemaah dan semua aktiviti di masjid dan surau ditangguhkan bermula 17 hingga 26 Mac ini.

Perkara itu diumumkan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri pada Isnin petang.

ARTIKEL BERKAITAN: Seramai 125 lagi dijangkiti Covid-19, 95 ada kaitan dengan perhimpunan tabligh

"Jawatankuasa masjid dan surau disarankan untuk membuat operasi pembersihan dan penyahkuman sebagai langkah keselamatan mengelakkan jangkitan.

"Tempoh 10 hari berkenaan adalah tertakluk kepada nasihat dan pandangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," ujarnya menerusi satu kenyataan.

Sekiranya berlaku kematian akibat Covid-19, pengurusan jenazah hendaklah dilaksanakan mengikut keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa MKI kali ke-107 yang bersidang pada 10-11 Februari 2015 mengenai hukum Pengurusan Jenazah Orang Islam yang Disyaki atau Disahkan Dijangkiti Virus Ebola (Ebola Virus Disease: EVD) di Malaysia.

Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Tambah Zulkifli, ketetapan itu dibuat setelah mendapat titah perkenan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.

Namun katanya, bagi pelaksanaan perihal itu, Muzakarah menyerahkan kepada pertimbangan pihak berkuasa agama setiap negeri.

Dengan titah perkenan Yang di-Pertuan Agong, pelaksanaan dua perihal tersebut juga adalah terpakai di Wilayah-Wilayah Persekutuan.

Terdahulu pada hari ini, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba mengumumkan 125 kes baharu Covid-19 di negara ini.

Ia menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 553 kes.

Sebanyak 95 daripada kes itu mempunyai kaitan dengan perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling pada 27 Februari hingga 1 Mac.

Artikel Lain