suria

Harga minyak turun lagi! RON95 kini RM1.82 seliter

Harga RON95, RON97 dan diesel turun bermula tengah malam ini hingga 20 Mac.

HARGA runcit petrol RON95 dan RON97, masing-masing turun tujuh sen dan sembilan sen seliter berkuat-kuasa tengah malam ini hingga 20 Mac.

Berdasarkan Mekanisme Harga Automatik (APM), harga runcit petrol RON95 turun tujuh sen daripada RM1.89 sen kepada RM1.82 seliter manakala RON97 pula daripada RM2.19 kepada RM2.10 seliter.

Dalam pada itu, harga diesel turut menyaksikan penurunan sebanyak sembilan sen seliter.

“Harga runcit diesel turun sebanyak sembilan sen seliter iaitu daripada RM1.96 seliter kepada RM1.87 seliter,” demikian menurut kenyataan dikeluarkan Kementerian Kewangan pada Jumaat.

Menurut kenyataan itu lagi, ketidaktentuan harga minyak mentah dunia pada masa ini dipengaruhi oleh ketidaksefahaman pengeluaran antara negara-negara pengeluar minyak utama dunia serta wabak Covid-19 yang memberi kesan kepada ekonomi global.

“Sebagai langkah untuk menstabilkan turun naik harga minyak kepada pengguna dan pada masa sama untuk mengimbangi ketidaktentuan hasil minyak kepada kerajaan, harga runcit bagi kedua-dua produk petrol RON95 dan diesel diturunkan masing-masing kepada paras RM1.82 seliter dan RM1.87 seliter.

“Di samping itu, kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara terutamadalam menangani peningkatan kos sara hidup kesan daripada kenaikan harga,” katanya.

harga petrol, RON95, RON97, diesel

Artikel Lain