suria

Wisma Putra bekerjasama dengan pihak berkuasa, agensi tempatan bantu percepat urusan bawa pulang jenazah remaja maut di Australia

Mohammad Farhan Fudhail Mohammad Farid (kanan) meninggal dunia akibat kemalangan semasa bermain papan luncur di Townsville, Queensland, Australia pada Sabtu lalu. Foto: Bernama

SURUHANJAYA Tinggi Malaysia di Canberra, Australia sedang berhubung rapat dengan pihak berkuasa dan agensi tempatan bagi mempercepatkan urusan dan dokumentasi bagi membawa pulang jenazah warga Malaysia yang kemalangan semasa bermain papan luncur di Townsville, Queensland.

Dalam kenyataan pada Isnin, Wisma Putra berkata pihak berkuasa dan agensi tempatan tersebut meliputi pejabat koroner Queensland di Brisbane, pegawai khidmat sosial di Hospital Townsville, syarikat pengurusan jenazah di Townsville, dan MASKargo di Brisbane.

ARTIKEL BERKAITAN: Remaja Malaysia maut di Australia tak pernah main ‘skateboard’ – “Shabby anak yang sangat baik, tak pernah sekali pun dia meninggi suara…”

“Kementerian Luar akan terus berusaha memastikan agar semua urusan dapat dilaksanakan dengan teratur dan lancar,” katanya.

Mohammad Farhan Fudhail Mohammad Farid, 16, meninggal dunia akibat kemalangan semasa bermain papan luncur di Townsville, Queensland, Australia pada Sabtu lalu.

Media antarabangsa melaporkan remaja itu maut apabila terlanggar penghadang jenis ‘bollard’ ketika menuruni bukit semasa meluncur.

Pasukan perubatan tiba di lokasi kejadian kira-kira 2.30 petang waktu tempatan dan cuba menyelamatkan mangsa yang mengalami kecederaan serius sebelum dia disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Susulan kejadian tersebut, Wisma Putra berkata Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Canberra sentiasa berhubung dan memberi bantuan konsular kepada keluarga Allahyarham yang berada di Townsville.

“Kementerian Luar merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada ahli keluarga Allahyarham serta memohon kerjasama semua pihak untuk menghormati perasaan dan privasi ahli keluarga,” katanya. - BERNAMA

Artikel Lain