suria

Lebih RM65,000 lenyap, penjawat awam wanita ditipu ‘pegawai LHDN’

Individu terbabit berulang kali menghubungi wanita berkenaan.

SEORANG penjawat awam wanita mendakwa kerugian RM65,619 selepas berkongsi kod pengesahan transaksi (TAC) dengan seorang lelaki yang mendakwa dirinya pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Superitendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata wanita yang berusia 42 tahun mendakwa suspek menghubunginya pada pagi Khamis dan memaklumkan dia mempunyai tunggakan cukai pendapatan yang perlu dijelaskan segera supaya tidak dikenakan tindakan undang-undang.

“Mangsa mendakwa telah menuruti arahan suspek yang mengarahkannya memberi maklumat perbankan online miliknya sebelum suspek berulang kali menghubunginya pada hari sama bagi meminta nombor TAC yang diterima di telefon bimbit mangsa kononnya bagi tujuan siasatan.

“Mangsa mendakwa hanya menyedari ditipu selepas dihubungi pihak bank semalam yang curiga dengan transaksi pemindahan wang dalam jumlah yang besar daripada akaunnya,“ katanya kepada pemberita di ibu negara, Sabtu.

Mangsa yang menafikan ada membuat transaksi itu seterusnya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini semalam, dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.-- Bernama

LHDN, TAC

Artikel Lain