Langgar beberapa kenderaan lain untuk larikan diri, pemandu Myvi biru akhirnya ditahan

Keadaan Myvi pemuda itu rosak teruk selepas cuba melarikan diri daripada dikejar orang ramai.

PEMANDU Myvi berwarna biru yang rakamannya melanggar beberapa kenderaan lain dekat Jalan Pudu, petang Jumaat sehingga tular di media sosial akhirnya ditahan polis.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (KJSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, dalam kejadian 4.50 petang itu, saksi seorang penghantar makanan yang telah merakam video mendakwa pemandu kereta Perodua Myvi itu telah menolak keluar mangsa seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) daripada pintu depan kiri kenderaan berkenaan.

"Selepas itu, saksi mengejar pemandu berusia 25 tahun untuk mengarahkan memberhentikan kenderaan, namun dia terus melarikan diri," katanya melalui kenyataan media.

Jelas beliau lagi, kereta yang dinaiki pemuda itu telah melanggar beberapa kereta di sepanjang Jalan Pudu.

"Lelaki berkenaan kemudian telah di tahan oleh orang awam di Jalan Brunei Utara pada jam 5.20 petang.

"Kita kemudian telah membawa lelaki tersebut ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Dang Wangi untuk tindakan lanjut oleh Bahagian Siasatan Jenayah IPD berkenaan," katanya.

Zulkefly memaklumkan pihak IPD Dang Wangi sedang menjalankan siasatan lanjut tentang kejadian sebenar OKU berkenaan di tolak daripada kereta tersebut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Myvi, biru, samun, OKU

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain