suria

Hasrat tunai umrah lebur ditipu 'ustaz'

Gambar hiasan.

HAJAT seorang kakitangan awam bersama ibu saudaranya untuk menunaikan umrah tidak kesampaian apabila mendakwa diperdayakan agensi pelancongan tidak wujud.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata wanita berusia 35 tahun itu mendakwa kerugian RM11,980 yang dikatakan sebagai  bayaran pakej umrah bagi dua orang yang dijadualkan berlepas ke Tanah Suci pada 1 Disember lepas. 

“Mangsa mendakwa bayaran itu dijelaskan secara tunai kepada wakil agensi pelancongan itu, difahamkan berstatus ‘ustaz’ yang datang mengambil wang itu di rumah mangsa di Temerloh sekitar hujung Oktober lepas. 

“Bagaimanapun pada 28 November, mangsa mendakwa dihubungi ustaz itu memaklumkan terdapat masalah dalam urusan visa dan tiket penerbangan menyebabkan perjalanan terpaksa ditunda ke tarikh yang tidak dimaklumkan,” katanya kepada pemberita di Kuantan pada Jumaat.

Mohd Wazir berkata mangsa mendakwa turut menghadapi masalah untuk mendapatkan semula wang itu menyebabkan dia berasa diperdayakan dan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh semalam. 

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan. 

Beliau juga menasihatkan orang ramai yang mahu mengerjakan umrah berbuat demikian dengan agensi bertauliah dan mempunyai rekod baik supaya tidak diperdayakan. - BERNAMA 

umrah, penipuan, ustaz

Artikel Lain