suria

Timbalan menteri sesak nafas, persidangan Dewan Rakyat dihenti seketika

Ahli Parlimen Kuala Pilah yang juga Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Eddin Syazlee Shith dibawa menggunakan kerusi roda setelah rebah ketika menghadiri persidangan Dewan Rakyat Mesyuarat Ketiga, Penggal Kedua di Bangunan Parlimen, Isnin. -fotoBERNAMA

SIDANG Dewan Rakyat pagi Isnin dihentikan hampir 10 minit apabila Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Eddin Syazlee Shith mengalami sesak nafas ketika sesi Pertanyaan-Pertanyaan Jawab Lisan pada 10.30 pagi ini, dan kemudiannya dirujuk ke Institut Jantung Negara (IJN).

Eddin ketika itu dilaporkan baru sahaja tiba di Dewan Rakyat dan hendak duduk sebelum dilihat tiba-tiba tidak bermaya dan terduduk di kerusinya.

Perkara itu disahkan oleh Pegawai Tugas-Tugas Khas beliau Farahiah Zubir.

Pada waktu itu, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah sedang menjawab soalan Wong Hon Wai (PH-Bukit Bendera) yang merupakan soalan ketiga pada sesi pagi ini.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohd Rashid Hasnon kemudian segera menghentikan persidangan Dewan Rakyat dan meminta pasukan perubatan segera memberi bantuan sewajarnya.

Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii Lee Wuen kemudian dilihat segera memberikan bantuan kepada Ahli Parlimen Kuala Pilah itu sebelum diikuti oleh beberapa ahli Parlimen lain dan pasukan perubatan.

Eddin kemudian dibawa ke Klinik Kesihatan Parlimen dengan kerusi roda dan diberi rawatan kecemasan  oleh Ketua Klinik Parlimen Dr R Murugesu sebelum dibawa oleh pasukan perubatan ke IJN.

Sebelum ini, pada 21 Oktober lepas, Ahli Parlimen Nibong Tebal Datuk Mansor Othman pitam ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2020.

Dr Kelvin yang ditemui di lobi Parlimen kemudiannya berkata, Eddin mengalami beberapa simptom seperti sesak nafas dan ketegangan di bahagian dada.

Beliau berkata hal berkenaan disedari oleh Ahli arlimen Kubang Pasu Datuk Amiruddin Hamzah yang duduk bersebelahan dengan Eddin sebelum datang kepadanya untuk meminta bantuan.

"Saya bersama beberapa ahli Parlimen lain, selepas itu segera memberi bantuan kecemasan bagi menstabilkan keadaan beliau.

"Ini kali pertama beliau ada isu seperti ini di Parlimen," katanya. -Bernama

Artikel Lain