suria

Wow! Penjual, 2,300 produk tempatan kini diletakkan sama ‘level’ dengan jenama antarabangsa di Shopee

Menteri KPDNHEP, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (dua, kiri) ketika majlis pelancaran kempen Beli Barangan Malaysia di Sofitel Kuala Lumpur, Damansara, Khamis. -Foto Bernama

SHOPEE, platform e-dagang terkemuka di Asia Tenggara dan Taiwan, mengumumkan kerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP)  dengan melancarkan kempen nasional Beli Barangan Malaysia dalam talian.

ARTIKEL BERKAITAN: Bukan sahaja pakaian atau perabot, kini kereta dan rumah juga ada di Shopee!

Ketua Perniagaan Shopee Malaysia, Zed Li berkata ini bagi membantu usahawan tempatan mengembangkan perniagaan mereka selain mengetengahkan dan menggalakkan pembelian produk buatan Malaysia di platform itu.

“Malah beberapa inisiatif utama turut dijalankan di bawah kerjasama ini dalam memastikan keterlihatan  produk-produk jenama Malaysia di plaform e-dagang. 

“Terdapat kira-kira 130 penjual produk buatan Malaysia yang menyertai kempen itu, menawarkan lebih daripada 2,300 produk termasuk produk kecantikan dan fesyen, makanan dan minuman dan peralatan rumah.

“Selain itu, kami juga memberi komitmen untuk mengetengahkan koleksi Beli Barangan Malaysia sempena acara membeli-belah mega akhir tahun yang akan datang termasuk kempen global 11.11 dan kempen 12.12,” katanya kepada media di majlis pelancaran kempen Beli Barangan Malaysia dan Brand Festival 10.10 Shopee di Sofitel Kuala Lumpur, Damansara pada Khamis.

Zed berkata, ini bertujuan memastikan penjual produk buatan Malaysia mendapat manfaat daripada peningkatan trafik dan kegiatan membeli-belah dalam talian untuk tempoh tersebut.

Salah satu barangan elektronik produk Malaysia jenama 'Selamat' di pasarkan di platform itu. -Foto Bernama

Menariknya, sepanjang kempen 10.10 Brand Festival berlangsung, pengguna berpeluang menikmati tawaran hebat seperti penghantaran percuma dengan perbelanjaan minimun RM10, tawaran harian serendah RM10, diskaun eksklusif sehingga 80 peratus serta permainan dalam aplikasi menarik seperti Mission: Shopee, Voucher Together-Gether, Shopee Catch dan Shopee Quiz dengan jumlah 10 juta Shopee Coins dan baucar untuk dimenangi.

Turut hadir merasmikan pelancaran kempen itu, Menteri KPDNHEP, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Tambah Zed lagi, Shopee Internatinal Platform (SIP)  turut diperkenalkan bagi membolehkan penjual tempatan mengembangkan sayap perniagaan ke luar negara dengan inisiatif rentas sempadan serba lengkap.

“Inisiatif ini menawarkan pelbagai kemudahan logistik, pembayaran dan perkhidmatan pelanggan kepada penjual tempatan tanpa sebarang kos tambahan," katanya.

Manakala menurut Saifuddin, Kempen Beli Barangan Malaysia ialah inisiatif pihak KPDNKHEP untuk mendidik pengguna tentang kehebatan kualiti dan kepelbagaian pilihan produk buatan Malaysia di pasaran.

Menerusi pakatan dengan platform e-dagang seperti Shopee ia membantu meningkatkan permintaan bagi produk buatan Malaysia serta menggalakkan usahawan tempatan untuk lebih berdaya saing dan bersedia untuk mengeksport.

Kempen ini turut mendapat sokongan selebriti daripada 'Shopee Selebriti Skuad' yang turut mengetengahkan produk masing-masing termasuk Tya Arifin, Rita Sosilawati, Nana Mahazan, Fynn Jamal, Amy Search dan Sophia Liana.

shopee, Beli Barangan Malaysia

Artikel Sebelum

Harga minyak RON97 turun 19 sen

Artikel Lain