suria

Pernah jadi mangsa boikot... McDonald's sumbang zakat RM1.4 juta, syarikat pertama terima sijil PPZ-MAIWP

Azhar Darbi (kiri) ketika menyerahkan Zakat korporat kepada Tuan Haji Ahmad Shukri Yusoff (kanan) sambil disaksikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa (tengah).

MASIHKAH anda ingat, beberapa tahun lalu McDonald's menjadi sasaran kempen yang digerakkan beberapa pihak untuk mengajak rakyat memboikot restoran makanan segera itu.

Kempen tesebut mendakwa McDonald's, salah satu jenama makanan segera dari luar negara yang bertapak di negara ini menyumbang dana kepada Israel.

Ketika itu dakyah disebarkan untuk meyakinkan rakyat kononnya membeli makanan di McDonald's sama seperti menyumbang peluru untuk Israel membunuh Muslim di Palestin.

ARTIKEL BERKAITAN: 20 McDonald's paling 'rare' di dunia yang patut anda kunjungi 

Bagaimanapun McDonald's Malaysia kemudian tampil mengeluarkan kenyataan bahawa mereka tidak menyumbang dana kepada negara tersebut seperti yang didakwa.

Perkara ini disokong dengan pemegangan saham 100 peratus rakyat tempatan dan pemegang saham terbesar adalah Muslim.

Di sebalik dakwaan yang ditabur tanpa fakta itu, jangan terkejut apabila pengendali tempatan rangkaian restoran McDonald’s iaitu Gerbang Alaf Restaurants muncul sebagai penerima pertama Sijil Pembayar Zakat Korporat daripada Pusat Pungutan Zakat, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP).

Mujahid ketika meletakkan Sijil Zakat di McDonald’s Putrajaya. 

Menghulurkan bantuan atau sumbangan merupakan sesuatu yang cukup dekat di hati kami semua di McDonald's Malaysia, sama ada menerusi usaha-usaha Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) kami atau pembayaran zakat.

“Kami berbangga menjadi penerima pertama Sijil Pembayar Zakat Korporat daripada PPZ-MAIWP, dan ini mencerminkan komitmen McDonald’s Malaysia dalam menunaikan kewajipan sebagai sebuah entiti perniagaan yang dimiliki oleh pelabur Islam,” kata Pengarah Kanan Sumber Manusia merangkap Pengerusi Jawatankuasa Halal Dalaman McDonald’s Malaysia, Azhar Darbi.

Majlis Penyerahan Zakat Korporat kepada PPZ-MAIWP dan Sijil Zakat kepada McDonald's Malaysia turut disaksikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa, di McDonald's Putrajaya, pada Rabu. 

Dalam pada itu menurut Azhar lagi, McDonald’s Malaysia membayar zakat berjumlah RM1.4 juta pada tahun ini di mana jumlah tersebut akan diagihkan secara rata ke semua 14 negeri, termasuk Wilayah Persekutuan yang akan disalurkan kepada PPZ-MAIWP sebanyak RM101,000.

Sijil tersebut akan dipamerkan di lebih 40 restoran McDonald's di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Selain membayar zakat korporat, McDonald’s Malaysia banyak terlibat dengan program CSR.
  

Ini merupakan tahun ketiga berturut-turut McDonald’s Malaysia telah membayar zakat korporat setelah pemerolehan syarikat oleh Lionhorn Pte. Ltd., sebuah anak syarikat Reza Group di Arab Saudi, pada 1 Disember 2016.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Ahmad Shukri Yusoff berharap sijil itu dapat menggalakkan lebih banyak syarikat membayar zakat perniagaan, untuk mencapai matlamat kutipan zakat PPZ-MAIWP sebanyak RM1 bilion menjelang tahun 2023.

Trivia tentang McDonald's Malaysia

1. Bekerjasama rapat dengan Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) untuk terus mendukung komitmen halalnya kepada para pengguna dalam semua aspek perniagaan.

2. Terlibat secara aktif dalam pelbagai program halal termasuk Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (Mihas), Halfest dan Sidang Kemuncak Halal Dunia.

3. Komited menggalakkan golongan belia khususnya daripada keluarga asnaf untuk menjalani Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) McDonald’s. Buat masa ini, pihak syarikat membiayai 30 anak asnaf untuk menjalani SLDN McDonald’s yang melibatkan latihan secara praktikal dan teori selama 18 bulan.

4. Memperkenalkan Program Perantisan Pengurusan yang menyasarkan golongan belia lepasan universiti dalam kategori B40, untuk memulakan kerjaya di McDonald’s sebaik sahaja tamat pengajian.

Artikel Lain