suria

Berang hajat rujuk semula ditolak, muka bekas isteri ditikam dengan pemutar skru

Pemutar skru yang dipercayai digunakan suspek untuk menikam bekas isterinya.

BERANG kerana hajat untuk merujuk semula perkahwinan dengan bekas isteri ditolak, seorang nelayan bertindak kejam menikam wanita tersebut di sebuah kedai makan di Pantai Air Tawar di Besut, Terengganu, petang Rabu.

Mangsa 28 tahun beralamat di Kampung Chalok Barat, Sungai Lerek, Bandar Permaisuri, Setiu cedera di bahagian muka dan beberapa anggota badan lain akibat ditikam dengan objek tajam.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, sebelum kejadian suspek berusia 31 tahun dari Kampung Alor Teratai, Kuala Besut datang bertemu isterinya di kedai makan tempat isterinya bekerja itu sekitar jam 4 petang.

Menurutnya, suspek datang untuk rujuk semula dengan mangsa yang bekerja sebagai pembantu kedai itu selepas mereka bercerai pada Julai 2017 dan mempunyai seorang anak perempuan berusia 4 tahun.

“Bagaimanapun mangsa dikatakan enggan merujuk semula menyebabkan suspek berang lalu bertindak menikam bekas isteri di bahagian muka dan tangan mangsa.

“Mangsa mengalami kecederaan luka di bahagian bawah mata kanan, luka di kening sebelah kiri dan luka di tangan kanan serta kiri,” katanya.

Mohd Zamri berkata, mangsa telah dikejarkan ke Hospital Besut oleh orang awam untuk mendapatkan rawatan dan keadaannya dilaporkan stabil.

Menurutnya, polis telah melakukan gerakan memburu suspek dan lelaki itu berjaya ditahan oleh sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Besut di tepi jalan Kampung Cawat, Kuala Besut sejurus kemudian.

“Polis turut merampas sebatang pemutar skru berbentuk T dipercayai yang digunakan untuk menikam mangsa selain merampas sebuah motosikal dan kunci,” katanya.

Tambahnya, siasatan awal mendapati suspek tidak mempunyai rekod lampau.

Menurut Mohd Zamri lagi, suspek ditahan reman untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan. - Sinar Harian

pemutar skru, tikam, bekas isteri

Artikel Lain