suria

Kepala zakar terpotong ketika berkhatan, remaja dapat pampasan RM150,000

Seorang remaja yang terpotong kepala alat sulitnya ketika berkhatan berjaya memperoleh pampasan - Gambar hiasan

REMAJA berumur 19 tahun yang terpotong kepala alat sulitnya ketika berkhatan berjaya memperoleh pampasan RM150,000 atas kecatatan kekal yang dialaminya selepas kes samannya terhadap seorang pembantu perubatan hospital kerajaan berjaya diselesaikan secara baik di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur.

Peguam Mohamad Zainuddin Abu Bakar yang mewakili remaja berkenaan berkata defendan pertama iaitu pembantu perubatan Hospital Kuala Lipis bersetuju untuk membayar RM150,000 kepada anak guamnya.

"Jumlah pampasan itu dicadangkan oleh mahkamah ketika kedua-dua pihak berunding untuk menyelesaikan kes dan kami bersetuju dengan jumlah pampasan berkenaan," katanya kepada pemberita selepas hadir pada prosiding kes saman tersebut di dalam kamar Hakim Datuk Nik Hasmat Nik Mohamad, yang kemudiannya merekodkan penghakiman persetujuan penyelesaian kes itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Khitan: Selamat atau tidak?

Mohamad Zainuddin berkata pihak defendan juga memohon supaya jumlah pampasan itu dibayar secara ansuran iaitu RM2,500 setiap bulan dalam tempoh lima tahun, bagaimanapun pihaknya menolak cadangan tersebut.

"Mahkamah kemudiannya menetapkan 5 Ogos untuk keputusan bagi mengetahui terma pembayaran berkenaan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohamad Zainuddin berkata rayuan anak guamnya di Mahkamah Rayuan ditetapkan untuk pengurusan kes pada 6 Ogos ini.

"Anak guam saya merayu berhubung keputusan mahkamah yang membenarkan kerajaan Malaysia dan empat pihak lagi yang sebelum ini dinamakan sebagai defendan untuk membatalkan saman berkenaan," katanya.

Pada 20 Februari lepas, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan kerajaan Malaysia, pegawai perubatan Hospital Kuala Lipis, Pahang; pengarah hospital itu; doktor pakar dan pengarah Hospital Selayang, Selangor; sebagai defendan kedua hingga keenam untuk membatalkan saman itu.

Pada 19 Julai 2018, remaja itu selaku plaintif memfailkan saman melalui ibunya dan mendakwa pada 10 pagi, 13 Disember 2010, defendan pertama (pembantu perubatan) bersama seorang pembantunya telah menjalankan prosedur berkhatan dengan kebenaran dan pengetahuan defendan kedua (pegawai perubatan) dan ketiga (pengarah hospital) ke atas dua kanak-kanak lelaki termasuk anaknya yang ketika itu berusia 10 tahun, di sebuah premis kediaman di Kuala Lipis, Pahang.

Plaintif mendakwa semasa berkhatan, defendan pertama tidak mengikut prosedur ditetapkan apabila telah memotong keseluruhan kepala zakar anaknya, yang ketika itu keadaan kulit zakar masih menutupi kepala kemaluan remaja berkenaan selain mendakwa defendan pertama membuat penyambungan semula ke atas kepala alat sulit dengan menjahitnya tanpa mengikut prosedur yang betul.

Dakwa plaintif, semasa anaknya berada di Hospital Kuala Lipis, defendan kedua tidak memberikan rawatan dengan segera dan tidak memaklumkan kepada plaintif serta anggota keluarganya bahawa keseluruhan kepala alat sulit atau glans penis terputus akibat prosedur berkhatan yang tidak mengikut standard, sebaliknya hanya dimaklumkan saluran kencing anaknya telah terpotong.

Plaintif mendakwa anaknya kemudian dibawa ke Hospital Selayang dan pembedahan dilakukan untuk menyambung semula kepala alat sulit dengan penutup getah diletakkan pada kepala zakar, namun selepas masuk hari ke-35, plaintif terperanjat selepas mendapati kepala alat sulit anaknya tidak ada lagi pada batang zakarnya.

Plaintif juga mendakwa defendan keempat memberi jaminan bahawa glans penis berkenaan kemungkinan akan tumbuh apabila anaknya mencapai usia akhir baligh, namun plaintif mendakwa apabila anaknya mencapai usia 17 tahun, kepala zakarnya tidak tumbuh dan remaja berkenaan mengalami kecacatan kekal dengan kemaluannya tidak dapat disambung semula.

Akibat kecacatan kekal itu, remaja berkenaan telah berubah sikap menjadi seorang yang amat pendiam dan tidak suka berkawan dengan rakan sebaya serta tidak faham dunia seksualiti.

Plaintif juga terpaksa menanggung perbelanjaan dan kos yang tinggi semasa mendapatkan rawatan di Hospital Selayang termasuk perbelanjaan perjalanan dan rundingan dengan peguam yang kesemuanya berjumlah lebih RM100,000. Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am, ganti rugi khas, faedah dan kos. -Bernama

Artikel Sebelum

Beruang pula masuk kampung

Artikel Lain