suria

Khitan: Selamat atau tidak?

PETALING JAYA: Amalan berkhitan bagi kebanyakan gadis terutama kanak-kanak Islam di negara ini dikenalpasti tidak mengikut garis panduan perubatan sebenar, termasuklah di klinik-klinik swasta.

Doktor dan pengamal perubatan tradisional yang ditemubual oleh wartawan R.AGE, The Star menerusi dokumentari baharu, The Hidden Cut mengakui pihaknya tidak mengikut prosedur standard dalam menjalankan amalan tersebut.

Dalam beberapa kes, pisau biasa dan mata bilah yang boleh didapati di kedai alat tulis digunakan dalam prosedur itu.

“Setakat ini saya tidak pernah mencederakan mana-mana bayi. Risikonya sedikit sahaja. Sedikit darah akan keluar dan saya menggunakan kapas yang menyerap darah itu.

"Setelah ada kesan darah pada kapas itu, maka lengkaplah upacara bersunat," ujar bidan tradisonal, Azizah Daud yang turut mendemonstrasikan prosedur itu sewaktu rakaman dokumentari dijalankan.

Gambar rajah bagaimana proses berkhitan dilakukan.

Dalam rakaman berkenaan, dia juga menggunakan pisau yang dibeli di kedai biasa sahaja.

Dalam pada itu, prosedur berkhitan juga berbeza mengikut pengamal perubatan yang menjalankannya.

Sesetengah daripada mereka akan membuat torehan di kelentit (klitoris) sahaja. Ada juga yang membuat pemotongan kulit yang melitupi bahagian kelentit.

Kementerian Kesihatan pada 2012 mengumumkan bahawa pihaknya akan mengeluarkan garis panduan perubatan untuk amalan itu, namun semua doktor yang ditemui R.AGE memaklumkan tidak pernah menerima arahan berkenaan.

"Semua orang mempunyai pemahaman sendiri, dan ia tidak mengejutkan kerana kita tidak menjalani latihan standard, berbeza dengan amalan berkhatan untuk lelaki," ujar professor Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Harlina Halizah yang juga pakar dalam bidang seksual dan kesihatan reproduksi.

Menurut Dr Harlina, doktor tetap melakukan prosedur itu bagi memastikan ibu-bapa tidak memilih bidan tradisional yang berkemungkinan tidak mensteril alatan yang digunakan.

Wakil daripada Kementerian Kesihatan Malaysia sebelum ini pernah diselar sewaktu pertemuan dengan Jawatankuasa Penghapusan Diskriminasi Terhadap Wanita (Cedaw) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kerana mendakwa prosedur berkenaan tidak berbahaya.

Malah, kenyataan itu turut disertakan dengan bukti statistik bahawa 83 hingga 85 peratus perempuan yang menjalani amalan itu tidak mengalami komplikasi.

Bidan kampung dari Kelantan iaitu Azizah binti Daud, 65, menunjukkan peralatan yang digunakan bagi proses berkhitan dengan menggunakan pembuka botol yang  diletakkan di atas alat kelamin bayi perempuan. Dia kemudian akan menggunakan pemotong kotak untuk memotong kawasan terdedah.

Beberapa wakil jawatankuasa itu termasuklah dari negara majoriti Muslim seperti Bangladesh dan Mesir turut menggesa agar amalan itu dihapuskan.

"Sebagai seorang yang berasal dari negara majoriti muslim, saya berasa cemas apabila saya dengar bahawa FGM disahkan oleh Islam - Ini langsung tidak benar," kata Ismat Jahan dari Bangladesh.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) melalui Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada 2009 menyatakan hukum berkhitan untuk golongan perempuan adalah wajib dan doktor berkaitan serta pakar akan mengeluarkan panduan untuk menjalankan prosedur berkenaan.

"Doktor dirujuk bagi mencari jalan untuk mengelakkan amalan kejam dalam pemotongan genitilia wanita (female genital mutilation FGM) sebagaimana ia dibangkitkan oleh Organisasi Kesihatan Dunia (WHO)," ujar felo pengkaji Jakim, Dr Arieff Osman.

Sementara itu, mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin bagaimanapun percaya bahawa amalan berkenaan bukanlah sesuatu yang wajib.

"Di Perlis, kami mengambil kira pelbagai mazhab dalam Islam dan ia termasuklah hukum berkhitan untuk perempuan yang sebenarnya tidak wajib tetapi tidak dilarang melakukannya dengan syarat perbuatan itu tidak mendatangkan mudarat kepada dirinya," ujar beliau.

Tambah Dr Asri, amalan itu juga tidak mempunyai sebarang manfaat kesihatan dan belum pernah dibuktikan secara saintifik.

"Saya rasa kita tak perlu teruskan amalan ini melainkan perempuan itu sudah dewasa dan dia memilih untuk melakukannya. Itu terpulang kepada individu berkenaan," katanya lagi.

Khitan, The Hidden Cut

Artikel Sebelum

Artikel Lain