suria

“Saya tak sanggup diperalatkan” - Tun M anggap video lucah isu politik

Dr Mahathir menegaskan isu itu akan ditangani sebagai isu politik.

PERDANA Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan, dia tidak sanggup diperalatkan semata-mata kerana niat jahat dan politik kotor pihak tertentu untuk menjatuhkan individu yang menjadi sasaran.

Walaupun tidak menamakan personaliti yang menjadi fokus utama, Dr Mahathir mengakui video lucah itu dihasilkan dan ditularkan untuk tujuan politik.

"Khusus untuk menghalang kejayaan politik individu tertentu," tulisnya dalam posting terbaharu di blog Chetdet.cc pada Selasa.

Malah Dr Mahathir yakin video yang itu dihasilkan untuk menyingkirkan individu yang disasarkan.

"Tindakan ini boleh diambil oleh saya kerana saya berkuasa. Apabila saya ambil tindakan, maka berjayalah pihak yang merancang perbuatan jahat ini," katanya.

Namun katanya, isu video seks berkenaan akan ditangani sebagai isu politik.

"Agama saya melarang sengaja mengintip mencari keburukan orang. Apa yang dilakukan lebih buruk daripada mengintip.

Video itu dipercayai di rakam di sebuah hotel di Sandakan pada Mei lalu.

"Ini bukan soal moral. Ini adalah masalah politik. Ia akan ditangani sebagai isu politik," katanya.

Pada Isnin, Azmin berkata beliau tidak akan mendedahkan siapa dalang di sebalik penyebaran video intim yang dikaitkan dengan dirinya.

Sebaliknya, beliau menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk berbuat demikian, meskipun dikatakan sudah mengetahui siapa dalang tersebut.

Terkini, polis mengesahkan seorang Dewan Undangan Negeri (Adun) di Selangor diambil keterangan berhubung siasatan kes video seks luar tabii bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang dikaitkan dalam aksi panas itu dan masih ditahan reman.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata wakil rakyat berusia 34 tahun itu hadir kira-kira pukul 10 pagi Isnin di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman untuk dirakam percakapan.

Media sebelum ini melaporkan, Adun Kota Anggerik, Najwan Halimi menafikan dakwaan bahawa dirinya merupakan dalang dalam penyebaran video terbabit dan itu hanya permainan minda dalam media sosial.

Dalam pada itu, Huzir berkata, pihaknya telah mendapatkan perintah lanjut reman terhadap ahli perniagaan yang ditahan di Shah Alam pada Jumaat lalu.

Tun M, Azmin Ali, video seks

Artikel Lain