suria

Gangguan air dijangka pulih sepenuhnya Sabtu ini

Sebanyak 1,191,942 akaun pelanggan terjejas dengan gangguan air tidak berjadual sejak Jumaat lalu.

PROSES pemulihan gangguan bekalan air di kawasan terjejas di Selangor dan Kuala Lumpur akibat pencemaran diesel di Sungai Selangor, mencapai tahap pemulihan keseluruhan 77 peratus, setakat 6 pagi Selasa.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi, Pengurusan Air Selangor, Abdul Raof Ahmad berkata kawasan terjejas di Gombak dan Kuala Selangor kini mencapai tahap pemulihan masing-masing 94 dan 90 peratus.

“Kawasan di Kuala Lumpur pula mencapai tahap pemulihan 82 peratus; Klang/Shah Alam (75 peratus); Petaling (70 peratus); Hulu Selangor (47 peratus); dan Kuala Langat (39 peratus).

“Proses pemulihan ini sedang dilaksanakan dan sasaran pemulihan keseluruhan gangguan bekalan air di kawasan yang terjejas adalah pada pukul 9 pagi Sabtu ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, bantuan lori tangki terus digerakkan selain pengaktifan 24 jam Pusat Khidmat Setempat (PKS) bagi menyalurkan bantuan kepada pengguna di kawasan yang terjejas.

Selain itu, kata Abdul Raof, pengguna di kawasan terjejas juga boleh mendapatkan bekalan air melalui pili awam yang turut disediakan ekoran insiden pencemaran berkenaan.

Tambah beliau, pengguna boleh mendapatkan maklumat dan status terkini gangguan bekalan air melalui aplikasi ‘Air Selangor’ pada telefon pintar atau menerusi laman sesawang www.syabas.com.my, Facebook ‘Air Selangor’ dan Twitter @air_selangor.

Pada Jumaat lepas, sebanyak 1,191,942 akaun pelanggan di wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat terjejas dengan gangguan air tidak berjadual ekoran insiden pencemaran diesel yang dikesan di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2 dan Fasa 3 serta Loji Rawatan Air Rantau Panjang dekat sini. - BERNAMA

gangguan air, Syabas

Artikel Lain