suria

Beruang pula masuk kampung

Beruang matahari ini dianggarkan seberat 70 kilogram.

BELUM reda kisah 'Awang Besol' di Besol Lama, Dungun, 'Awang Hitam' yang muncul di Felda Belara pula ditangkap Jabatan Perlindungan Haiwan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu pada Selasa.

'Awang Hitam' yang dirujuk penduduk setempat kepada seekor beruang matahari seberat kira-kira 70 kilogram memasuki perangkap dipasang Perhilitan di belakang rumah penduduk di Felda Belara di Kuala Nerus.

Kejayaan Perhilitan menyebabkan ketakutan penduduk sedikit reda dengan ancaman haiwan liar berkenaan yang dikatakan berlaku sejak kira-kira tiga minggu lalu di kawasan komuniti Felda berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Dukacita! Harimau gempar masuk kampung disahkan mati

Pengarah Perhilitan Terengganu, Dr Abdul Malek Mohd Yusof berkata, beruang matahari itu disedari memasuki perangkap dipasang kira-kira jam 7.30 pagi oleh seorang penduduk, Mohd Yusree Mustafa, 36.

Menurutnya, pihaknya memasang perangkap untuk menangkap beruang berkenaan sejak dua minggu lalu selepas menerima aduan penduduk kerana ternampak haiwan itu berlegar di kampung itu.

“Bagaimanapun, beruang matahari itu hanya memasuki perangkap selepas perangkap itu dialihkan kira-kira 500 meter dari lokasi asal ia dipasang berhampiran rumah penduduk terbabit.

“Beruang ini merbahaya dan boleh mencederakan jika berasa terancam kerana ia mempunyai kuku tajam menyebabkan penduduk bimbang keselamatan mereka," katanya dihubungi pemberita pada Selasa.

Mengulas lanjut katanya, pihaknya akan melakukan pemeriksaan kesihatan terhadap beruang berkenaan dan sekiranya ia disahkan sihat, beruang itu akan dilepaskan di kawasan Taman Negara.

“Jika sebaliknya, kita akan hantar beruang matahari ini ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan dan Pusat Konservasi Hidupan Liar (PKHL) di Sungkai, Perak untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, tangkapan beruang matahari itu adalah yang ketiga berjaya ditangkap pihak Perhilitan pada tahun ini dengan dua tangkapan sebelum ini iaitu di Jambu Bongkok, Marang.

Sementara itu penduduk terbabit, Mohd Yusree berkata, dia menanggung kerugian sekitar RM10,000 apabila sarang kelulut dan kira-kira 10 pokok kelapa matag dirosakkan beruang matahari itu.

“Perangkap itu diletakkan di lokasi itu pada sebelah petang dan beruang itu masuk perangkap pada malam hari sama, tapi saya beranikan diri melihat haiwan itu kira-kira jam 7.30 pagi tadi," katanya. - Sinar Harian

beruang matahari, harimau

Artikel Lain